SAYA menganggap kenyataan Pengerusi SPR, Azhar Harun yang melabelkan rakyat Kelantan yang berada di luar Kelantan sebagai kaki kelab adalah satu penghinaan. Berdasarkan kenyataan beliau yang telah tular di media sosial dan akhbar tempatan, beliau jelas menggolongkan seolah-olah majoriti rakyat Kelantan yang berada di luar tidak tahu tentang dosa dan pahala.
Rakyat Kelantan di luar sana ada di kalangan penjawat awam, pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan tokoh-tokoh korporat yang banyak menyumbang untuk masyarakat dan negara. Ucapan berkenaan dianggap keterlaluan dan boleh mencetuskan perasaan benci serta prasangka negatif rakyat negeri lain terhadap rakyat Kelantan sehingga boleh mencetuskan sentimen kenegerian.
Beliau sebagai seorang Pengerusi SPR sewajarnya lebih berhati-hati di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan umum dan seharusnya lebih mengetahui tentang fakta sejarah Kelantan yang sinonim dengan panggilan Negeri Serambi Mekah yang menggambarkan dekatnya mereka dengan kehidupan beragama.
Selain itu, beliau perlu faham bahawa sesiapa sahaja berhak memilih pentadbiran Islam sebagai asas pemerintahan negeri. Hal itu adalah suatu perkara yang baik dan tidak sepatutnya dijadikan isu. Sekiranya ada beberapa orang yang berbuat maksiat, adalah salah mengaitkan dengan seluruh rakyat Kelantan.
YAB USTAZ DATO’ HAJI AHMAD BIN YAKOB
(DATO’ BENTARA KANAN)
MENTERI BESAR KELANTAN
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
Tags
Kenyataan