Berita Terkini

Gesaan laksana agenda Melayu pandangan peribadi Azmin, kata Anwar


KUALA LUMPUR: Presiden PKR Anwar Ibrahim menjarakkan diri daripada gesaan timbalannya, Azmin Ali yang mahu kerajaan melaksanakan dasar-dasar pro-Melayu dan Bumiputera jika mahu mendapatkan semula keyakinan komuniti itu.

Perdana menteri menanti itu berkata partinya komited pada dasar yang membantu orang-orang Melayu dan juga orang-orang miskin daripada komuniti lain.

“Itu pandangan peribadinya,” kata Anwar kepada pemberita selepas pelancaran inisiatif Digital Native Agenda (DNA23) di ibu pejabat Astro hari ini.

“Manifesto Pakatan Harapan tidak ketepikan orang Melayu dan Bumiputera, tetapi menyeru pendekatan yang telus dan bukan perkauman, dengan agenda untuk membantu orang miskin dan golongan terpinggir. Orang Melayu adalah majoriti tetapi pendekatannya bukan perkauman,” katanya.

Semalam, Azmin ketika mengulas kekalahan PH pada pilihan raya kecil Semenyih pada Sabtu berkata gabungan itu harus menggiatkan usaha melaksana perubahan dan menjadi parti pilihan orang Melayu, serta meneruskan agenda Bumiputera.

“Kita harus berani melaksanakan janji-janji khususnya kepada masyarakat Melayu dan bumiputera yang merupakan bahagian integral agenda nasional dan kita akan melaksanakannya tanpa rasa apologetik atau bimbang terhadap kritikan luar,” kata menteri hal ehwal ekonomi itu menurut laporan Bernama.

Calon BN, Zakaria Hanafi menang DUN Semenyih dengan majoriti 1,914 undi, meraih 19,780 undi berbanding calon PH, Muhammad Aiman Zainali yang meraih 17,866 undi.

Kemenangan tersebut merupakan kemenangan kedua gabungan tersebut dalam pilihan raya kecil selepas hilang kuasa tahun lepas.

Diminta mengulas kekalahan itu, Anwar hari ini mengakui PH perlu melipat gandakan usahanya termasuk berhubungan dengan orang ramai.

“Tetapi saya rasa ia bukan mengenai berpatah balik dan memungkiri janji-janji melaksanakan dasar-dasar yang telus untuk membantu rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Sementara itu, Anwar tidak bimbang dengan rancangan PAS dan Umno menggunakan lambang bersama.

Tetapi Ahli Parlimen Port Dickson itu mengingatkan parti Islam itu supaya jangan tidak mengendahkan rasuah dan salahguna kuasa besar-besaran pentadbiran lepas.

Akhbar Sinar Harian hari ini melaporkan Umno dan PAS mungkin akan meneruskan kerjasama susulan kemenangan BN pada PRK Semenyih dan Cameron Highlands.

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form