Berita Terkini

Ahmad Faizal enggan lepas jawatan MB Perak


IPOH, 21 Mac — Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak akan melepaskan jawatan beliau walaupun berdepan dengan pelbagai kritikan dan tekanan.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang itu yang juga dikenali dengan panggilan Peja berkata beliau akan terus menjalankan tanggungjawab dan amanah sebagai sebagai menteri besar sebaik mungkin.

“Ini tanggungjawab saya, semasa angkat sumpah (jawatan) apa yang saya cakap adalah dari hati saya. I am not throwing in the towel. (Saya belum mahu berhenti lagi)

“Kalau esok saya dijatuhkan, saya masih OK. Saya masih Peja (panggilan mesra) yang sama, serve rakyat (berkhidmat kepada rakyat) dengan cara tersendiri, masih ADUN Chenderiang dan Anggota Parlimen Tambun,” katanya.

Ahmad Faizal bercakap kepada pemberita selepas program Townhall Maqasid ‘Maqasid Shariah Based Governance’ peringkat negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Selain itu, Ahmad Faizal menegaskan hubungannya dengan 10 lagi Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) masih ibarat sebuah keluarga besar yang bahagia di sebalik pelbagai desas-desus wujudnya konflik.

Menteri besar Perak itu turut mengakui terdapat kalangan Exco yang membelakangkan serta tidak merujuk beliau sebelum membuat sesuatu kenyataan.

“Masih ada kalangan (Exco) yang tidak faham bahawa saya adalah menteri besar, kadang-kadang kenyataan dibuat tanpa merujuk kepada saya dan ini menampakkan kami tidak kerja sebagai pasukan yang mantap,” katanya.

Dikenali sebagai seorang yang santai dan positif, Ahmad Faizal bagaimanapun berkata perkara tersebut boleh diperbaiki kerana sebagai manusia tiada sesiapa yang sempurna.

Ditanya jika beliau akan membuat rombakan Exco, Ahmad Faizal tidak menolak kemungkinan perkara itu dalam usaha memantapkan pentadbiran kerajaan negeri.

Mengenai desakan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak agar kerajaan negeri menukarkan seorang Exco daripada parti itu kerana didapati kurang menunjukkan prestasi, Ahmad Faizal berkata cadangan tersebut sepatutnya dibawa kepada pucuk pimpinan parti.

“Sama seperti untuk memilih calon Exco (sebelum ini), nama yang dipertimbangkan untuk dapat perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah kena datang daripada pucuk pimpinan, bukan daripada negeri. Tapi saya akan dengar cadangan semua pihak,” katanya. — Bernama



DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form