Princess Aura Nurr Ermily Amara Auliya Bidadari Nawal El Zendra binti Mohd Suffian merupakan nama terpanjang di Malaysia dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kini.
Ketua Pengarah JPN Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata berdasarkan rekod JPN nama lelaki paling popular di negara ini ialah Ismail iaitu seramai 72,157 orang diikuti Ahmad (57,914) dan Abdullah (47,989).
“Manakala nama wanita yang popular ialah Fatimah iaitu seramai 74,605 orang, Zainab (41,450) dan Azizah (34,114),” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Pendaftaran Negara dan Hari Inovasi JPN 2018.
Jelas beliau, berdasarkan rekod JPN sehingga 30 Jun 2018 jumlah pemegang MyKad di seluruh negara ialah sebanyak 22,664,773 di mana 19,322,409 menukar MyKad Struktur Baru, 3,247,589 masih belum menukar MyKad Struktur Baru, 81,250 masih memegang Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT) dan 13,525 masih memegang Kad Pengenalan Pertama (KPP).
Mohammad Razin turut menyeru kepada pemegang MyKad yang masih belum menukar kepada MyKad Struktur Baru, pemegang KPT dan pemegang KPP untuk menukar kad pengenalan mereka.
Katanya, MyKad bercip struktur baharu ini dikeluarkan dengan memberi penekanan utama ke atas penambahbaikan dari segi kualiti, ciri-ciri keselamatan dan daya tahan MyKad yang selari dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa.
Jelas beliau, rekod dokumen pengenalan diri yang diuruskan JPN menjadi rujukan utama dan digunapakai oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta dalam pelbagai bidang termasuklah urusan keselamatan, perbankan, percukaian, pendidikan, kesihatan dan sebagainya.
Tambah Mohammad Razin, maklumat dan data pendaftaran yang dikendalikan JPN turut digunapakai oleh agensi kerajaan lain seperti Agency Link – Up Systems (ALIS) yang sangat berkesan untuk mengelak dan membanteras kes-kes penipuan, pemalsuan dokumen pengenalan diri dalam urusan harian.
NADIREFORMASI
http://nadireformasi.blogspot.com/
Tags
Umum