Malaysia Book of Records (MBOR) mengumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo diiktiraf sebagai individu keturunan Sikh pertama bergelar menteri kabinet di negara ini.
Pengumuman dibuat Ketua Pegawai Eksekutif MBOR, Datuk Michael Tio pada satu majlis MBOR Live! yang julung kali diadakan secara langsung di laman Facebook selama tiga hari tanpa henti bermula hari ini.
Sijil pengiktirafan sebagai 'First Sikh Minister' itu diserahkan kepada Gobind Singh di pejabatnya pada 3 Sept lepas.
Dalam reaksinya, Gobind Singh berkata penghargaan itu membuktikan Malaysia sebuah negara unik yang terbuka dan memberi peluang kepada sesiapa sahaja di kalangan lapisan masyarakat untuk mencipta nama.
"Bukan sahaja apa yang saya terima (penghargaan) tetapi MBOR sememangnya telah membuat satu usaha baik yang membanggakan serta patut disokong.
"Melaluinya (MBOR) kita dapat saksikan setiap rekod acara-acara yang cemerlang dihimpunkan sebagai satu bentuk 'rakaman' kecemerlangan yang dicipta rakyat Malaysia termasuk juga ada yang ‘world record’," katanya kepada pemberita semalam.
Terdahulu, Gobind Singh merasmikan MBOR Live! dan menyampaikan pengiktirafan oleh MBOR kepada beberapa penerima antaranya Hansel Chan Ji Jun, 4, 'Youngest Drummer with Lion Dance'; 'Most Multi-Coloured Slippers Produced' dengan 109 rekaan warna kepada Fipper dan Proton Edar sebagai penerima 'Most People in an MPV' dengan muatan 55 orang pada satu masa.
Dianggarkan lebih 40 rekod MBOR bakal tercipta sepanjang tiga hari program MBOR Live! yang akan diumumkan pada majlis penutupan pada Ahad.
- Bernama