Melaka baru sahaja memberi tamparan kepada PH. BN mengekalkan 21 kerusi, PN tambah tiga dan PH turun kepada empat. Kedudukan PH merosot teruk daripada 2021.
Selepas Sabah, Johor dan Negeri Sembilan, ini bukan lagi nasib malang. Ini sudah menjadi corak.
Hakikatnya, PH sudah empat tahun memegang Putrajaya. Perdana Menteri dari PH. Menteri penting dari PH. Kuasa ada, dana pun ada. Cuma yang tiada hanyalah keberanian untuk mengaku bahawa janji reformasi kini tinggal sebagai bahan nostalgia di pentas ceramah.
PH patut berhenti mencari punca di luar dan mula memandang ke dalam Dewan Rakyat sendiri.
Di situ duduknya RSN Rayer (Jelutong) dan Sany Hamzan (Hulu Langat). Dua nama yang bagi ramai pengundi sudah menjadi wajah sebenar PH hari ini. Bukan wajah reformasi tapi wajah kacau bilau dan kekecohan.
Parlimen sepatutnya tempat dasar digubal dan rang undang-undang diteliti. Tetapi setiap kali mereka bangun, yang tular bukan hujah.
Mereka tular dengan jeritan bising, sindiran dan drama yang lebih layak dibawa ke gelanggang gusti. Pembangkang mencucuk sedikit, mereka terus melompat ke dalam perangkap.
Pengundi di Melaka tidak perlu membaca manifesto PH. Cukup menonton klip Rayer dan Sany di telefon. Kita ketawa dan PH kalah.
Pengundi tidak pernah menandatangani kontrak setia seumur hidup dengan PH. Sokongan 2018 ialah pinjaman atas nama harapan, bukan hadiah percuma.
Kaum dan agama memang mewarnai politik kita. Tetapi apabila setiap kekalahan dibungkus dengan alasan yang sama, itu bukan analisis. Itu tanda parti yang sudah kehabisan idea.
PH tidak perlu mencari musuh di luar. Cukup berdiri di hadapan cermin. Dua wajah paling jelas yang terpantul di situ ialah Rayer dan Sany. Selagi PH berpura-pura tidak nampak selagi itulah pengundi akan terus berpaling.
Sejak berkuasa, PH lebih suka memarahi cermin kerana enggan memantulkan wajah reformis yang mereka bayangkan.
Dari sisi lain, PH perlu lebih ramai Rayer dan Sany supaya proses kehancuran PH boleh lebih laju dan segera kerana Malaysia akan lebih baik tanpa mereka semua.--JPX
Shahridhan Shaharan
______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
