Berita Terkini

Belah Bahagi Dun Selangor: Permainan tak menjadi


1. Ada satu ironi di Dewan Negeri Selangor. Ketua Pembangkang mahu rakyat melihat siapa yang menyokong belanjawan kerajaan. Rakyat pun melihat.

2. Ketua Pembangkang Selangor, sejak tahun 2024, tidak pernah meminta undi belah bahagi terhadap belanjawan. Namun, kali ini beliau meminta undi belah bahagi. Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang.

3. Apa anginnya? Pada 16 November lalu, beliau menyatakan bahawa cadangan perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) daripada ADUN Bersatu telah dikemukakan kepada Menteri Besar untuk pertimbangan.

4. Tiba-tiba, Ketua Pembangkang mahu undi belah bahagi untuk belanjawan. Taktiknya apa? Kononnya mahu menunjukkan kepada rakyat siapa yang menyokong dan siapa yang menolak belanjawan.

5. Perangkapnya mudah. Kalau ADUN PAS menyokong, maka akan dikatakan PAS sama sahaja dengan Bersatu, turut menyokong Kerajaan PH. Kalau mengundi menentang pula, akan dikatakan PAS menolak belanjawan rakyat, tidak mengutamakan kebajikan rakyat dan macam-macam lagi.

6. Cuma ada satu pilihan lagi. Mereka mengambil pendirian berkecuali.

7. Apa maksud berkecuali? Ertinya tidak memberikan undi sokongan dan tidak juga memberikan undi penentangan. Kalau begitu, atas alasan apa PAS dikatakan menolak belanjawan mentah-mentah?

8. Dalam amalan demokrasi berparlimen, undi berkecuali (abstention) ialah satu pilihan yang sah. Bahkan, dalam keadaan tertentu, ia merupakan satu strategi politik apabila ahli Dewan mempunyai pertimbangan yang berbeza terhadap perkara yang diundi.

9. Umum mengetahui bahawa belanjawan merupakan antara indikator penting kepercayaan Dewan terhadap sesebuah kerajaan. Dalam sistem Westminster, kekalahan kerajaan dalam undian belanjawan atau supply boleh mencetuskan persoalan sama ada kerajaan masih menikmati kepercayaan majoriti Dewan. Sebab itulah undi belanjawan turut mempunyai implikasi politik terhadap kedudukan kerajaan.

10. Azmin Ali sendiri telah menyatakan bahawa jika CSA dimeterai, ADUN Bersatu akan menyokong kerajaan dalam undi belah bahagi. Walaupun CSA belum ditandatangani ketika undian belanjawan berlangsung, kesemua 11 ADUN Bersatu akhirnya menyokong belanjawan tersebut.

11. Maka, pendirian tujuh ADUN PAS yang berkecuali tidak menggagalkan kelulusan belanjawan. Belanjawan tetap diluluskan dengan 42 undi sokongan. Pada masa yang sama, rekod undian menunjukkan bahawa PAS memilih untuk tidak memberikan sokongan politik kepada keseluruhan pakej tersebut.

12. Belanjawan pula melibatkan peruntukan kewangan yang sangat besar untuk pelbagai perkara, termasuk peruntukan menangani banjir. Berkecuali dalam undian keseluruhan belanjawan tidak bererti ADUN PAS tidak prihatin terhadap isu banjir.

13. ADUN PAS telah mengambil bahagian dalam perbahasan dan membangkitkan isu tersebut, di samping aktif turun ke lapangan bersama rakyat. Lihat sahaja YB Jefri Mejan, ADUN Ijok, yang turun mengharung banjir dengan kapchainya. Di Dewan, beliau meminta kerajaan negeri mempertimbangkan bantuan kepada pekebun kecil yang kebunnya berbelas hari ditenggelami air. Rakyat tahu siapa yang hadir ketika mereka ditimpa musibah.

14. Undi belah bahagi itu ada ironinya. Ketua Pembangkang meminta setiap undi direkodkan. Yang turut terpampang dalam rekod Dewan ialah kesemua 11 undi Bersatu di pihak yang menyokong.

15. YB Shafie Ngah, ADUN Sungai Ramal, telah menjelaskan dalam Dewan bahawa berkecuali juga merupakan hak demokrasi ahli-ahli Dewan. Speaker sendiri turut menegaskan bahawa Dewan tidak akan menghukum mana-mana ahli yang memilih untuk berkecuali, tidak menyokong atau tidak hadir dalam pengundian.

16. Bersatu berunding dengan Menteri Besar mengenai CSA. Itu pilihan Bersatu. Sejak bila pilihan itu mengikat ADUN PAS? Mereka tidak perlu mengikut langkah kekanda.

17. Keputusan untuk menolak belanjawan secara keseluruhan, seperti yang pernah diserukan oleh Pakatan Harapan ketika Belanjawan 2021 di Parlimen, bukan perkara yang mudah. Ketika itu, PH menggesa ahli-ahli Parlimen menolak belanjawan pada bacaan ketiga, walaupun akhirnya belanjawan tersebut diluluskan dengan 111 undi menyokong berbanding 108 menentang.

18. Di Selangor, ADUN PAS mahu kerajaan negeri melaksanakan projek tebatan banjir yang sudah diperuntukkan dalam belanjawan. Pendirian berkecuali tidak menggugurkan tanggungjawab mereka untuk memastikan peruntukan itu sampai manfaatnya kepada rakyat.

19. Hakikatnya, tugas pembangkang ialah menjalankan fungsi semak dan imbang terhadap kerajaan. Membangkang bukan bermaksud menolak segala-galanya, sebagaimana menyokong sesuatu peruntukan yang baik tidak bermaksud perlu menyokong keseluruhan dasar kerajaan. Untuk menjalankan tugas itu, setiap ADUN perlu bebas menentukan pendiriannya dalam undian dan bersedia menjelaskannya kepada rakyat.

20. Syabas dan tahniah kepada tujuh ADUN PAS atas pendirian yang diambil (3 orang lagi luar kawasan/cuti sakit). Ketua Pembangkang mahu rakyat tahu siapa yang menyokong belanjawan kerajaan. Sekarang rakyat tahu.

21. CSA belum pun dimeterai ketika itu, tetapi kesemua 11 undi Bersatu sudah pun diberi.

DR YUSFARIZAL YUSSOFF
Ketua Penerangan

______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form