Berita Terkini

Sangetha kesal bapanya paling tadah, ikrar komited agenda reformasi


Pada Mac 2021, Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar mengumumkan dirinya keluar daripada PKR untuk menyokong perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin.

Xavier menyertai parti pembangkang sejak 1998 ketika ia dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional, dan anak perempuannya, Sangetha Jayakumar, mengikuti jejak ayahnya itu pada tahun 2007.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini, Naib Ketua Wanita PKR itu mengakui bahawa dia kesal dengan tindakan bapanya berpaling tadah.

Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa perjuangan politiknya adalah bebas daripada pengaruh Xavier.

"Tindakan ayah saya keluar PKR adalah keputusan peribadinya. Sebagai ahli PKR dan pembangkang, sudah tentu saya harap (pembelotan) ini tidak berlaku.

Dr Xavier Jayakumar, Ahli Parlimen Kuala Langat

“Bagaimanapun, saya hanya boleh bertanggungjawab berhubung tindakan saya sendiri, justeru, saya berharap rakyat akan melihat dan menilai sumbangan saya ke arah pembinaan negara berdasarkan merit.

"Pada kongres parti 2019, saya sudah berazam untuk mengambil haluan sendiri. Berucap di kongres itu mungkin antara perkara mencabar yang saya lakukan," katanya.

Sangetha berkata dia bekerja keras pada 2020 untuk memastikan Wanita PKR dan khususnya bahagian-bahagian di Selangor kekal utuh dan padu dalam keadaan beberapa pemimpin mula meninggalkan parti.

"Saya di sini untuk kekal dalam PKR. Saya komited dengan agenda reformasi, terutamanya untuk membangunkan lebih banyak projek berasaskan komuniti dan sentiasa ke arah mencapai matlamat mengarusperdanakan wanita dalam organisasi dan komuniti.

"Saya percaya kita mesti mempunyai kedua-dua aspek pembinaan masyarakat akar umbi dan pada masa yang sama memperjuangkan dasar yang direformasi dan tadbir urus yang baik," katanya.

Selain mempertahankan kerusinya sebagai naib ketua wanita kebangsaan, Sangetha turut bersaing untuk merebut jawatan ketua bahagian Kota Raja pada pemilihan PKR kali ini, yang dijadualkan berlangsung dari 13 hingga 22 Mei.


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form