Berita Terkini

Tingkat penyertaan Dayak dalam perkhidmatan awam, PRS beritahu kerajaan GPS


SIBU:
Parti Rakyat Sarawak (PRS) meminta kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) melihat cara bagi meningkatkan penyertaan kaum Dayak dalam perkhidmatan awam negeri khususnya di peringkat eksekutif bagi mencerminkan komposisi penduduk Bumi Kenyalang.

Pemangku Presiden PRS Joseph Salang Gandum, berkata ketidakseimbangan dalam jawatan dan perjawatan perkhidmatan awam Sarawak adalah amat ketara dan telah menjadi isu sejak sekian lama.

“Tugas Suruhanjaya Perkhidmatan Awam perlu dirombak supaya lebih telus dalam urusan pengambilan pekerja. Keadaan yang sama juga wujud dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC). GPS mesti mencari jalan untuk menangani isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan Tritahunan (TDC) ke-5 PRS oleh Pengerusi GPS Abang Johari Openg, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau meminta penyertaan lebih ramai kaum Dayak dalam perniagaan dan perdagangan.

Sebagai bekas presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI), Salang berkata, beliau sedar masyarakat kaum itu masih belum menyedari betapa banyak peluang yang terdapat dalam teras pembangunan ekonomi meliputi bidang hartanah, penerokaan, kuari dan perlombongan selain pertanian serta perladangan.

“Diharapkan Yang Amat Berhormat Premier akan dapat menentukan agar kementerian-kementerian terlibat memberikan pertimbangan sewajarnya jika terdapat permohonan daripada kaum Dayak,” kata bekas timbalan menteri penerangan, komunikasi dan kebudayaan itu.

Beliau turut menggesa agar kerajaan negeri memastikan pembangunan seimbang di kawasan bandar dan luar bandar dengan menyediakan lebih banyak infrastruktur, utiliti dan telekomunikasi di luar bandar.

Mengulas isu Yayasan Pendidikan Teknikal Rakyat Sarawak (Teras) yang sinonim dengan PRS, Salang berkata, ia telah banyak menyumbang kepada penyertaan anak Sarawak dalam bidang teknikal.

Katanya dana yayasan itu sudah susut dan memerlukan peruntukan tahunan daripada kerajaan Sarawak untuk terus membantu golongan yang memerlukan.


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form