SAYA sudah agak, akan ada yang menyokong YB Maria Chin dalam Kes Hina Mahkamah Syariah di mana beliau dijatuhkan hukuman penjara 7 hari itu.
Apa yang mengecewakan ialah, yang menyokongnya itu bukannya sekadar orang-orang biasa, NGO proksi atau ahli parti tetapi ‘solid’ 76 orang ahli parlimen, iaitu mereka yang membuat dasar.
Yang lebih mengecewakan lagi, antara 76 orang ahli parlimen tersebut, ramai juga dari kalangan yang beragama Islam.
Saya tidak pasti adakah ahli-ahli parlimen Muslim yang menyokong YB Maria Chin ini benar-benar berbuat demikian atas dasar prinsip atau semata-mata kerana mahu sokongan politik.
Setelah institusi Islam seperti JAKIM, sekolah-sekolah tahfiz, pusat zakat, institusi ulama, fatwa dan sebagainya ‘diserang’, kini giliran mahkamah pula menjadi sasaran.
Adakah ini satu kebetulan atau satu perancangan? Saya boleh jangka ahli-ahli parlimen bukan Islam akan menyokong YB Maria tetapi yang saya agak terkejut kenapa yang Muslim juga bersekongkol?
Saya tertanya-tanya kalau beginilah sikap ahli-ahli parlimen muslim, apakah nilai atau agenda sebenar yang ingin mereka bawa?
Apakah mereka tidak meneliti dan membuat kajian terhadap strategi musuh? Atau mereka ini sebenarnya tidak lebih daripada menjadi proksi kepada …….?
Penghinaan kepada mahkamah syariah ini sebenarya adalah satu tamparan besar kepada tonggak sistem Islam itu sendiri.
Saya tidak menolak kemungkinan satu hari nanti mahkamah Syariah ini akan ‘dihapuskan’ kuasanya. Dan pada ketika itu Islam amat sukar untuk bangkit kembali dan musuh akan bersorak keriangan. Sejarah akan menukilkan bagaimana ahli-ahli parlimen Muslim ini menjadi penyumbang kepada keruntuhan sistem perundangan Islam di Malaysia.
Apapun saya masih lagi berharap yang mereka yang beragama Islam dalam senarai 76 orang ini untuk ‘U-Turn’.
Moga di bulan Ramadhan yang mulia ini mereka diberi hidayah untuk kembali mengenal apa itu kebenaran dan apa itu kesesatan.
Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA
______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily