Berita Terkini

Didakwa tengok porno ketika bersidang, Ahli Parlimen UK digantung daripada parti


LONDON:
Parti Konservatif Britain menggantung salah seorang ahli Parlimennya daripada parti semalam sementara menunggu siasatan terhadap dakwaan beliau menonton video pornografi di telefon bimbitnya ketika menghadiri sidang House of Commons.

Ahli Parlimen itu dikenal pasti sebagai Neil Parish, 65, yang mempengerusikan Jawatankuasa Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar.

“Setelah bercakap dengan ketua whip petang ini, Ahli Parlimen Neil Parish melaporkan dirinya kepada Pesuruhjaya Parlimen untuk Standard,” kata jurucakap ketua whip Chris Heaton-Harris, yang bertanggungjawab ke atas disiplin parti.

“Parish digantung sementara (daripada parti) sementara menunggu hasil siasatan,” katanya.

Di laman sesawangnya, Parish mengakui beliau telah merujuk dirinya kepada pesuruhjaya tersebut berhubung penggunaan telefon bimbit di dalam Parlimen.

Beliau akan bekerjasama dengan sebarang siasatan, katanya, dan terus melaksanakan tugas sebagai ahli Parlimen Tiverton dan Honiton di barat daya England, walaupun timbul desakan untuk beliau meletak jawatan.

Harriet Harman daripada Parti Buruh, yang juga Ahli Parlimen wanita paling lama berkhidmat, berkata Parish harus berundur sebagai ahli Parlimen.

“Ini menandakan tahap rendah baharu untuk House of Commons,” kata Harman kepada saluran radio BBC.

“Jika beliau berbuat demikian, beliau patut berundur daripada Parlimen serta merta. Tidak perlu lalui proses siasatan,” katanya.

Parish disoal siasat mengenai dakwaan membabitkan pornografi itu pada Rabu, sebelum identitinya didedahkan kepada umum.

Beliau berkata, pejabat whip akan menjalankan siasatan yang teliti.

“Kita akan tunggu keputusannya dan saya rasa, dari situ, keputusan akan dibuat mengenai tindakan yang akan diambil,” katanya kepada GB News.

Bagaimanapun, beliau menafikan wujud masalah budaya yang besar di Parlimen.

“Kita ada kira-kira 650 ahli Parlimen dalam suasana yang tegang. Akan ada yang melampaui batasan.

“Saya tak rasa wujudnya budaya yang besar di sini, namun ia mesti ditangani dengan serius oleh whip,” katanya.

Sekurang-kurangnya 56 ahli Parlimen, termasuk tiga menteri, sedang disiasat atas dakwaan salah laku seksual dibuat pejabat aduan Parlimen sendiri.

Parti Konservatif dituduh bersikap prejudis terhadap wanita selepas sebuah portal berita Ahad lepas memetik ahli Parlimennya yang tidak dinamakan menuduh timbalan ketua Parti Buruh, Angela Rayner, cuba mengalih perhatian Perdana Menteri Boris Johnson dengan kakinya.


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form