Berita Terkini

Pemecatan Annuar amaran buat ahli Umno rapat dengan PPBM, kata penganalisis


PETALING JAYA:
Penganalisis berpandangan pemecatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa sebagai satu amaran kepada ahli Umno yang dilihat terlalu selesa dengan PPBM.

Mereka berkata, ia merupakan isyarat kuat hubungan antara kedua-dua parti itu akan mencapai tahap tegang.

Pengesahan Annuar semalam mengenai pemecatannya menyusul sehari selepas menyatakan kesediaannya untuk dipecat berikutan kepercayaan beliau pentingnya kerjasama antara parti Melayu dan pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Felo Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berkata, penyingkiran Annuar menunjukkan Umno tidak akan lagi bertoleransi dengan apa yang dilihat sebagai satu sikap menindas daripada gabungan yang sepatutnya menjadi rakan.

Oh Ei Sun.

“Ini memberi isyarat kuat kepada pemimpin Umno yang terlalu akrab dengan PPBM atau seolah mahu beralih arah, juga kepada pemimpin PPBM yang lebih hiperaktif, yang berusaha keras serta menggunakan kuasa dominan mereka terhadap Umno dalam gabungan memerintah itu.”

Oh berkata, ketegangan antara Umno dan PPBM dilihat umpama retak menanti belah.

“Sekiranya PPBM tidak menghentikan sikap dominasinya, seperti ‘mengusik’ kedudukan kepemimpinan tertinggi Sabah, Umno kemungkinan akan terus melancarkan kejutan politik mereka,” katanya.

Penganalisis dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Tunku Mohar Mokhtar bersetuju, mengatakan sudah terang lagi bersuluh Annuar (akan disingkirkan) selepas beliau membuat komen yang bertentangan dengan kenyataan kepimpinan Umno.

Beliau berkata, BN, di mana Umno merupakan komponen utama, mungkin sudah bosan menjadi “hanya rakan biasa” dalam gabungan pemerintah itu kerana menguasai jumlah kerusi paling banyak tetapi belum mendapat penghormatan yang sewajarnya.

“Ia mahu berkuasa dan tidak akan membiarkan PPBM mendominasi,” katanya.

Tunku Mohar Mokhtar.

Tunku Mohar berkata, PPBM perlu bimbang, terutama kerana rundingan kerusi untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15) antara partinya dan Umno dilaporkan tidak berjalan dengan lancar.

“Sekarang ia bergantung kepada PAS, tetapi PAS pula tidak dapat menolong PPBM di luar Kelantan dan Terengganu.

“PAS juga perlu bimbang. Umno sudah memberi isyarat, ia tidak senang dengan PAS yang tidak mengutamakan Muafakat Nasional (perjanjian tidak rasmi antara Umno dan PAS). Tanpa Umno, pengaruh PAS akan terhad kepada Kelantan, Terengganu dan mungkin juga Kedah,” katanya.


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form