JOHOR BAHRU: Naib Ketua Pemuda PPBM Kota Tinggi ditemui lemas di pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi, hari ini.
Mohd Zulfikrie Buang, 24, dilaporkan tergelincir dari perancah ketika melakukan kerja membaiki Jeti Tanjung Balau di Bandar Penawar petang semalam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Penawar, Mohd Fadli Ismail berkata, mayat Zulfikrie ditemui 3 petang tadi dalam anggaran 500m dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
“Dengan penemuan mayat ini, operasi mencari dan menyelamat yang
memasuki hari kedua hari ini ditamatkan pada 4.15 petang,” katanya dalam
kenyataan malam ini.
Pagi tadi, Jabatan Bomba dan Penyelamat memaklumkan operasi mencari dan menyelamat mangsa diteruskan selepas operasi pada hari sebelumnya gagal menemui sebarang petunjuk.
Operasi ditumpukan di kawasan pinggir pantai Jeti Nelayan Tanjung Balau, Jeti Challet Tanjung Balau dan Pantai Tanjung Balau dengan bantuan polis, Angkatan Pertahanan Awam dan Kementerian Kesihatan.
Sementara itu, Pemuda PPBM Kota Tinggi dalam kenyataan di Facebook rasmi parti itu mengesahkan kejadian yang menimpa Zulfikrie.
“Mohon sedekahkan Al-Fatihah untuk Naib Ketua Pemuda PPBM Bahagian
Kota Tinggi, Mohd Zulfikrie Buang yang ditemui lemas di Pantai Tanjung
Balau, petang tadi. Semoga arwah ditempatkan bersama orang-orang
beriman,” menurut kenyataan itu.
Barisan kepimpinan Pemuda PPBM Kota Tinggi turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Zulfikrie dan berikrar parti akan meneruskan perjuangan arwah untuk masyarakat.
______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
