Berita Terkini

Saya tidak pernah halang Anwar untuk jadi PM - Tun Mahathir


KUALA LUMPUR:
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan beliau mempunyai niat untuk menghalang Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerajui pentadbiran seterusnya.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, Anwar sepatutnya sudahpun menggantikan beliau sebagai Perdana Menteri pada penghujung 90-an dahulu, namun tidak dapat berbuat demikian kerana berlaku beberapa perkara tertentu, dan dimasukkan ke dalam penjara.

Ujarnya lagi, sepatutnya Anwar yang dinamakan sebagai Perdana Menteri sewaktu Pakatan Harapan berjaya menumbangkan Barisan Nasional pada pilihan raya umum yang lepas, tetapi tidak boleh memandangkan ketika itu Anwar baharu saja mendapat Pengampunan Diraja dan tidak mempunyai kerusi Parlimen.

“Saya yang angkat Anwar Ibrahim sehingga dia dapat jadi Timbalan Perdana Menteri (1993 - 1998), akan mengganti saya jika saya letak jawatan (sebagai Perdana Menteri). Tetapi ada perkara-perkara yang berlaku yang mana itu tak terjadi.

“Kemudian daripada itu, dia sebenarnya dijatuhkan hukuman, dia berada dalam penjara. Dan dia adalah pemimpin Pakatan Rakyat. Jadi sepatutnya dialah dinamakan, tetapi kerana dia tak dapat.

“Maka saya dipilih bukan kerana sokongan kepada saya, kerana dia duduk di dalam (penjara),” katanya dalam program khas Eksklusif Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di Astro AWANI, yang disiarkan pada Rabu malam.

Sewaktu Pakatan Harapan memerintah, Dr Mahathir dilaporkan akan menyerahkan portfolio Perdana Menteri kepada Anwar untuk tempoh dua tahun selepas pilihan raya umum.

Namun beliau telah mengubah pendirian dan mahu kekal sebagai Perdana Menteri sekurang-kurangnya hingga November tahun ini susulan penganjuran Malaysia dalam sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasitif (APEC).

Bagaimanapun, krisis politik yang berlaku pada Februari tahun ini menyaksikan Dr Mahathir terpaksa meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), seterusnya mengakibatkan kejatuhan Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan sekepas hanya 22 bulan memerintah.

Rentetan daripada episod itu, hubungan antara kedua-dua ahli politik veteran ini dilihat kembali dingin.
“Tetapi cerita dekat orang, kunun saya yang halang dia. Saya tak ada halangan. Sekarang ini kalau saya nak jadi Perdana Menteri, saya boleh jadi Perdana Menteri. Tetapi saya pegang kepada prinsip.
“Kalau sudah sampai masa saya undur, saya undur. Saya bukan nak pegang jawatan ini sampai bila-bila. Orang lain kalau nak pilih Anwar, pilih Anwarlah,” katanya lagi.


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

1 Comments

  1. Dr M selalu tegakkan benang yg basah tetapi DSAI nampak konsisten xperlu komen kerana rakyat menyukainya 👍

    ReplyDelete
Previous Post Next Post

Contact Form