Berita Terkini

Kes tembakan di sempadan: Polis tahan dua penyeludup


Polis menahan dua penyeludup warga Thailand yang disyaki terlibat dalam kejadian berbalas tembak dengan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar, awal pagi tadi.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata pihaknya dimaklumkan empat lagi suspek ditahan oleh pihak berkuasa Thailand di negara jiran itu.

"Seorang (penyeludup) ditangkap oleh pasukan komando VAT 69 selepas kejadian dan seorang ditahan PGA Batalion 3... (namun) senjata tidak dijumpai.

"Daripada empat tangkapan dibuat oleh pihak Thailand, tiga penyeludup dilaporkan cedera dan seorang yang membantu mereka turut cedera," katanya kepada pemberita berhampiran lokasi kejadian dekat sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan mendapatkan keterangan daripada semua suspek dengan kerjasama polis Thailand.

Surina berkata siasatan awal pihaknya mendapati kejadian yang berlaku di Tembok Sempadan 9 (TS9) melibatkan 13 penyeludup.

"Penyeludup ketika itu dipercayai membawa lebih kurang 12 bungkus daun ketum (anggaran 400-500 kilogram) dan seguni ubat batuk," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai anggota PGA dari Batalion 3 (Senoi Praaq) Briged Utara Kpl baruddin Ramli yang terbunuh dalam kejadian itu, beliau berkata mangsa mengalami kecederaan parah akibat terkena tembakan di bahagian kiri perut menyebabkannya meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata jenazah mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat.

Rakan setugas mangsa, Kpl Norihan a/l Tari yang cedera parah di bahagian perut dalam kejadian itu kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar, katanya.

"Kita amat berbangga dengan keberanian yang telah ditunjukkan (anggota) apabila bertempur dengan lebih kurang 13 penyeludup daripada negara jiran.

----

Kejadian berbalas tembakan di sempadan berlaku spontan - IGP

Kejadian berbalas tembakan di sempadan Malaysia-Thailand antara dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan kumpulan penyeludup dadah awal pagi tadi berlaku secara spontan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata kedua-dua pihak melibatkan polis dan penyeludup terkejut melihat kehadiran masing-masing di lokasi kejadian iaitu kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis kira-kira pukul 2.30 pagi tadi.

"Dua anggota PGA itu dalam operasi perisikan dengan bersenjatakan pistol dan menunggang motosikal, dan mereka tiba di satu kawasan belukar serta denai di kawasan ladang getah menuju ke tembok sempadan.

"Mereka kemudian berjalan di denai sebelum terserempak dengan kumpulan itu yang membawa guni mengandungi daun ketum dan ubat batuk," katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, di Kuala Lumpur.

Beliau berkata Kpl Baharuddin Ramli, 54, yang maut terkena tembakan di rusuk kanan sempat meminta rakannya Kpl Norihan a/l Tari, 39, meminta bantuan dari pos kawalan TS9, menyebabkan Norihan yang sudah cedera kerana terkena tiga das tembakan bergegas kembali ke motosikal mereka dan menunggang ke pos kawalan berkenaan.

Abdul Hamid berkata pasukan bantuan yang tiba di lokasi kejadian setengah jam kemudian mendapati Baharuddin, orang asli dari suku kaum Semelai, telah terbaring dan meninggal dunia dalam keadaan pistolnya berada di bahu dan kehabisan peluru.

"Kecederaan Norihan pula ialah dua dari peluru terkena ususnya namun beliau kini stabil di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis,” katanya.

Abdul Hamid berkata pasukan komando VAT69 yang turut dikerah ke lokasi kejadian bersama pasukan bantuan dari PGA kemudian berjaya menahan dua suspek lelaki warga Thailand, dengan salah seorangnya ditahan berdekatan lokasi kejadian.

Beliau berkata jasad Baharudin masih di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah dan akan dibawa ke Kem 3 Batalion PGA di Bidor Perak sebelum disemadikan mengikut istiadat rasmi PDRM di Kampung Sampo, Bahau, Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Abdul Hamid turut menjelaskan sindiket penyeludupan dadah itu dipercayai beroperasi dengan cara pertukaran 'barter' iaitu menyeludup ke dalam negara ini dadah, antaranya heroin dan syabu dari Thailand, dan membawa daun ketum dari negara ini ke Thailand.

"Polis sedang memburu tiga rakyat Malaysia yang dipercayai terlibat dalam sindiket berkenaan dan polis juga sudah mengenal pasti tujuh sindiket penyeludupan yang bergiat di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata polis juga merekodkan dua kejadian tembakan berdekatan pos kawalan berkenaan pada 12 dan 15 Nov lepas, dipercayai menggunakan senapang angin dan senjata api lain, yang dipercayai untuk menakutkan anggota penguatkuasa di kawasan itu.

Beliau berkata bantuan kebajikan sewajarnya akan diberikan kepada kedua-dua anggota pasukan Senoi Praaq itu, dan mereka juga pernah menerima beberapa sijil penghargaan dan anugerah perkhidmatan cemerlang sebelum ini.

Katanya, pasukan Senoi Praaq juga memiliki reputasi yang digeruni dalam kalangan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand kerana amanah dan berintegriti tinggi semasa menjalankan tugas.

- Bernama



______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form