Berita Terkini

Hapus faedah hutang boleh stabilkan semula ekonomi


Pendapat Tuan Muhammad Zahid Abdul Aziz, Timbalan Pengerusi Gerakan Keadilan Monetari (Movement for Monetary Justice Malaysia) berkenaan penghapusan faedah hutang dalam keadaan krisis seperti pandemik Covid-19, perlu diberikan perhatian oleh pakar-pakar ekonomi dan kerajaan.

Beliau menyatakan ‘Debt Jubilee’ atau penghapusan hutang di Malaysia adalah penghapusan faedah dari semua jenis hutang. Ini senada dengan cadangan yang dikemukakan oleh Ketua Armada Nasional Parti Pribumi Bersatu Malaysia, YB Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Faedah ini akhirnya akan terjumlah kepada hutang, menjadikan ia sebahagian daripada hutang. Maka terma ‘debt jubilee’ digunakan.

Penekanan perlu diberikan di mana ia (debt jubilee) ini bukanlah suatu ‘hall pass’ untuk berhutang dan terlepas daripada obligasi untuk membayarnya. Ia adalah suatu lontaran idea baharu bagi mendepani situasi semasa yang tidak pernah kita lalui sebelum ini.

Adakah ia merupakan suatu idea yang ekstrim? Mungkin, kerana situasi luar biasa (unprecedented) yang kita alami pada hari ini tidak pernah berada di dalam jangkaan kita namun kita terpaksa menerimanya, sebegitu pandemik yang telah menyebabkan ramai kehilangan kerja serta tidak pernah difikirkan sebelum ini.

Pun begitu, penghapusan faedah hutang bank bersasar ini perlulah diberikan kepada golongan yang benar-benar terjejas, dan ia bukanlah satu manfaat yang boleh dinikmati atau diberikan kepada semua pihak.

Bantuan bersasar seperti pemberian wang di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) kepada golongan tertentu, akan membentuk suatu kestabilan aliran tunai dalam pasaran negara sekali gus memberi ekuiti (keadilan) kepada pihak yang terjejas, berbanding bantuan secara sama rata kepada semua.

Jika kita boleh menerima pemberian bantuan bersasar ‘cash injection’ seperti ini, maka pemberian penghapusan faedah hutang secara bersasar untuk golongan tertentu juga boleh dikaji.

Keadilan bukanlah bererti sama rata. Keadilan adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Bantuan penghapusan faedah hutang secara bersasar boleh memenuhi kehendak ini.

Bagi golongan yang tidak terjejas pula, kerajaan boleh memberikan potongan cukai yang menarik kepada mereka.

Dengan cara ini, kedua-dua golongan (yang terjejas mahupun yang tidak terjejas) mempunyai sedikit lebihan tunai untuk dibelanjakan semula, sekaligus dapat meransang semula ekonomi domestik.

Bank rugi?

Adakah bank akan mengalami kerugian? Fikirkan ini, bank akan mengalami lebih banyak kerugian hasil daripada kegagalan bayaran balik pinjaman yang dibebani oleh faedah hutang ini.

Bank akhirnya terpaksa mengheret penghutang ke mahkamah, bankrapkan mereka dan dalam banyak kes, bank gagal untuk mendapatkan semula bayaran pinjaman terbabit. Ia merupakan satu pertempuran kalah-kalah (lose-lose battle). Itu tidak termasuk lagi kos guaman yang perlu ditanggung oleh pihak bank.

Dengan adanya ‘debt jubilee’ secara bersasar, kita boleh reset semula ekonomi dan mengimbangi semula bebanan hutang dalam pasaran kewangan negara. Ia dapat memberi nafas baru kepada pengusaha industri kecil & sederhana atau pekerja kategori berjawatan rendah untuk menstruktur semula kehidupan mereka.

Selain itu, satu Jawatankuasa Monetari Negara boleh dibentuk oleh parlimen untuk mengawal selia pergerakan wang dalam negara. Kerajaan juga boleh menguatkuasakan undang-undang sedia ada bagi mengawal kenaikan harga barangan dan memastikan bekalan barangan runcit sentiasa cukup di pasaran. Hasil dari pemerkasaan undang-undang ini dan usaha bersepadu dan teliti oleh Jawatankuasa Monetari Negara, kadar inflasi boleh dikawal.

Dengan penghapusan faedah, kadar pinjaman bulanan akan menjadi lebih rendah dan ini akan meringankan bebanan isi rumah, memberikan mereka lebihan tunai untuk berbelanja, serta memendekkan tempoh pinjaman.

Ia juga dapat meningkatkan kadar pembayaran semula pinjaman oleh peminjam kepada pihak bank dan dalam masa yang sama memberi peluang mereka menyusun semula kitaran wang mereka.

‘Debt jubilee’ akan mengurangkan keyakinan pelabur terhadap pasaran saham industri perbankan? Mungkin. Tetapi bank perlu waspada terhadap bahaya yang lebih besar, iaitu kegagalan bayaran balik pinjaman secara besar-besaran yang boleh meranapkan industri perbankan sekaligus, seperti yang berlaku kepada krisis subprima Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2008.

Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) menganggarkan bahawa bank-bank di AS dan Eropah mengalami kerugian lebih dari $1 trilion dari aset toksik dan dari pinjaman gagal bayar dari Januari 2007 hingga September 2009. Kerugian ini mencecah $2.8 trilion dari tahun 2007 hingga 2010.

Apabila ia terlalu keras, ia akan patah. Bank perlu menilai semula pegangan mereka berbanding kemampuan pasaran.

Tiada pihak yang mahu terjerumus ke kancah kegagalan membayar hutang, melainkan mereka tiada pilihan lain. Inilah peluang untuk kita memberikan mereka pilihan tersebut.

MOHAMAD SIDDIQ AZANI
Pengerusi Biro Perundangan Armada Nasional Parti Pribumi Bersatu Malaysia.


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form