Berita Terkini

Belanjawan 2021 pulihkan semangat rakyat – Dr Khairuddin


KUALA LUMPUR
: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyifatkan Belanjawan 2021 adalah bagi memulihkan semangat rakyat dan negara kembali merancakkan ekonomi negara susulan pandemik Covid-19.

Beliau menyambut baik pembentangan Belanjawan 2012 yang amat prihatin dengan perkembangan rancak sektor komoditi negara apabila Insentif Pengeluaran Getah (IPG) ditingkatkan sekali ganda daripada RM150 juta kepada RM300 juta.

Katanya, dengan kenaikan ini, pendapatan 150,000 pekebun kecil getah persendirian daripada keseluruhan 450,000 dapat distabilkan dan memberikan kelegaan kepada mereka.

Selain itu, katanya bagi pembangunan sektor komoditi, program pemilikan sijil Minyak Sawit Mampan dengan peruntukan RM20 juta akan diteruskan.

“Ia bertujuan memastikan kualiti minyak sawit Malaysia terus dipertingkatkan serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Dalam usaha memperkenalkan transformasi pengeluaran getah dan meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah, saya akan memastikan insentif pengeluaran lateks sebanyak RM16 juta secara padanan yang bakal dimulakan di Koridor Lateks Pantai Timur merangkumi Pahang, Terengganu dan Kelantan dimaksimumkan pelaksanaannya.

“Bagi bidang kayu-kayan pula, saya menyambut baik pembukaan kawasan perindustrian perabot di Pagoh, bagi merancakkan industri perkayuan dan menambah peluang pekerjaan bakal menjadi lembaran baru sektor ini di selatan tanah air,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata keprihatinan kerajaan terhadap usaha kementeriannya mengangkat sektor hiliran kayu-kayan ini membuktikan bahawa ia mampu menyumbang kepada ekonomi negara yang lebih mampan.

Dalam pada itu, katanya penyediaan dana pusingan berjumlah RM500 juta bagi program Pinjaman Pembangunan Ladang Hutan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) khusus untuk pembangunan ladang hutan yang berkeluasan 4 hektar dan ke atas.

Program ini katanya, akan menggalakkan lagi usaha kementerian menyediakan bekalan mentah kayu-kayan khususnya bagi industri baharu seperti buluh, eucalyptus dan kayu karas ke tahap yang lebih tinggi dalam usaha merancakkan kelangsungan ekonomi negara.

“Saya juga amat menghargai keprihatinan empat syarikat sarung tangan utama negara iaitu Top Glove, Hartalega, Supermax dan Kossan yang telah menyatakan komitmen untuk menyumbang sebanyak RM400 juta bagi memerangi wabak Covid-19 selain sudi untuk menampung sebahagian kos vaksin Covid-19 serta kos perbelanjaan peralatan.

“Syabas diucapkan kepada semua syarikat ini. Saya berharap lebih banyak syarikat tampil melakukan tindakan sama sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR),” ujarnya lagi.

Justeru, beliau berharap Belanjawan 2021 ini disokong oleh semua Ahli Parlimen demi kemakmuran ekonomi rakyat dan negara khususnya dalam mendepani pandemik wabak Covid-19 ketika ini. – HARAKAHDAILY 6/11/2020


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form