Berita Terkini

Tiada majoriti? Syed Saddiq seru Muhyiddin jumpa pembangkang


KUALA LUMPUR, 24 Okt
— Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merayu Perdana Menteri tidak menggunakan darurat sebagai jalan menggantung Parlimen.

Bekas menteri belia dan sukan berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin sewajarnya kembali ke meja rundingan bagi meraih sokongan ahli parlimen.

“Tidak perlu isytihar darurat, panggil semua duduk semeja untuk luluskan Belanjawan 2021, tanpa ada pilihan raya.

“Ketepikan ego dan pecahkan tembok kepartian demi Malaysia tercinta. Saya berharap Perdana Menteri boleh mempertimbangkan cadangan saya.

“Kalau takut tidak cukup sokongan di Parlimen, jangan ambil jalan mudah untuk gantung Parlimen dan demokrasi.

“Jumpa dengan semua dan cari titik tengah bersama. Kami bukannya tidak munasabah. Kami sayang Malaysia melebihi apa pun,” katanya.

Wakil rakyat Muar mengulas ura-ura kerajaan mahu mengisytiharkan darurat selepas kes Covid-19 mencatat peningkatan mendadak.

Syed Saddiq berkata rundingan dengan pembangkang bukan sesuatu yang mustahil dan ia pernah terjadi sebelumnya.

Katanya, cadangan membenarkan belia mengundi pada usia 18 tahun pernah mendapat keputusan sebulat suara Dewan Rakyat.

“Dahulu saya diperlekehkan apabila mencuba untuk pinda Perlembagaan (Undi 18) walaupun kerajaan tiada sokongan dua pertiga ahli parlimen.

“Perkara ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia tetapi, Alhamdulillah, kerana tidak berpihak, kita berjaya lakukan bersama.

“Saya dimaki oleh segelintir pemimpin kerana duduk bersama pembangkang untuk usahakan agenda nasional.

“Saya teruskan kerana saya percaya kita mampu mencipta sejarah bersama untuk Malaysia.

“Kita pernah lakukannya. Kita boleh ulanginya demi Malaysia,” katanya lagi.


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form