Mungkin juga amalan “stereotyping” telah membuatkan pemikiran kita terdorong menjadi “judgemental” dalam menilai sesuatu perkara.
Saya pernah berjumpa Tengku Razaleigh bin Tengku Mohd Hamzah (KuLi) pada 12 Oktober 2015.
Ketika itu KuLi hadir di Yayasan Kepimpinan Perdana untuk menyertai Tun Mahathir dalam sidang media mengkritik penahanan Khairudin Abu Hassan dan Matthias Chang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Khairudin dan Matthias kemudiannya dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah pada 12 Mei 2016.
Ini bermakna, KuLi adalah individu yang akan berdiri untuk kebenaran walaupun tidak disukai oleh orang lain.
Persoalannya, apakah KuLi melibatkan diri dalam perjuangan Tun Mahathir dalam Deklarasi Rakyat atau penubuhan BERSATU?
Menurut KuLi "Saya bersamanya (Dr Mahathir) bukan kerana perkara lain kecuali berhubung sekatan kebebasan bersuara.”
Saudara dan saudari,
KuLi setia kepada perjuangan UMNO, beliau tidak menyertai Tun Mahathir dalam perjuangan menjatuhkan UMNO dan BN.
Malah selepas BN tumbang di PRU14 sekalipun, KuLi tidak melompat parti walaupun KuLi berpeluang untuk menyertai kabinet Tun Mahathir di dalam kerajaan PH ketika itu.
Kenapa KuLi tidak melompat parti?
KuLi mempertahankan kebenaran bahawa UMNO adalah perjuangan yang betul untuk agama, bangsa dan negara.
Selepas tewas dalam Pemilihan Presiden 2018, KuLi masih terus kukuh dalam perjuangan.
Ianya juga membuktikan KuLi bukan individu yang akan menggadai perjuangan semata-mata untuk jawatan.
Memang benar KuLi pernah bergaduh besar dengan Tun Mahathir dan menubuhkan Semangat 46 namun ianya kerana beliau tidak dibenarkan menganggotai UMNO (Baru), beliau kembali kepada UMNO selepas Tun Mahathir menjemput beliau sertai UMNO semula.
Sejarah 32 tahun lalu itu juga membuktikan KuLi menyayangi UMNO.
Saudara dan saudari,
Terdapat 17 Ahli Parlimen UMNO yang tidak pernah hadir ketika sidang media Tun Mahathir atau bergambar dengan Tun Mahathir, tetapi mereka telah lompat parti selepas BN tumbang di PRU14.
TokPa adalah pemimpin UMNO yang melaungkan “Hidup Melayu!” berdegar-dengar di PWTC sebelum PRU14, tetapi beliau lah pemimpin UMNO pertama keluar UMNO selepas BN tumbang.
Mas Ermiyati juga melaungkan “Hidup Melayu!” hingga pecah anak tekak di PWTC tetapi dia pemimpin UMNO pertama keluar parti sebaik kalah pemilihan.
Jadi, apakah berjumpa dan bergambar dengan Tun Mahathir itu menjadikan KuLi seorang pengkhianat parti?
Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi juga berjumpa dengan Tun Mahathir tetapi beliau tegas menyatakan “bagaimana ular lidi nak menelan ular sawa?”
Dato Seri Mad Hassan juga berjumpa Tun Mahathir tetapi sehingga kini beliau berapi-api mempertahankan UMNO.
Selepas dikenakan puluhan dakwaan dan jutaaan wang jaminan mahkamah, adakah Dato Seri Najib Razak dan Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi menyokong Dato Seri Anwar Ibrahim menjadi PM9? Tidak!
Secara peribadi saya juga menyayangi Tun Mahathir sebagai bapa dan guru tetapi saya berperang dengan Tun Mahathir bermula malam PRU14 dan saya konsisten sehingga hari ini walaupun tanpa keahlian UMNO, apatah lagi jawatan.
Jangan mudah membuat andaian hanya berdasarkan kepada pandangan mata atau bisikan hati.
Ramai pemimpin UMNO yang teguh dalam perjuangan.
Cincang hancur, kebumi tanpa nisan sekalipun saya percaya KuLi tidak akan berganjak walau satu inci dari perjuangan agama, bangsa dan negara.
Bukan semua ahli politik itu sampah, bukan semua ahli politik itu pembohong, bukan semua ahli politik boleh dibeli dengan wang dan jawatan.
UMNO terus berdiri hari ini kerana pemimpin-pemimpin yang masih berada di situ adalah mereka yang kukuh mempertahankan maruah perjuangan.
Benar rambut sama hitam tapi hati lain-lain, namun jiwa nurani kita perlu teguh berpadu dalam jihad antara manusia dan Tuhannya demi mempertahankan agama, bangsa dan negara.
Salam perjuangan untuk semua!
ANINA SAADUDIN
ANINA SAADUDIN
______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
Tags
Artikel

Kenyataan peribadi ala ala syok sendiri. Rakyat tak terima lagi Tun M. Mungkin Ku Li sekali. Idea lapok tak sesuai era sekarang. Rakyat memilih pemimpin mengutamakan kebajikan rakyat. Bukan banyak putar alam. Tak kira kerajaan mana tadbir Malaysia. TSMY terbaik mengutamakan kebajikan rakyat.
ReplyDelete