Berita Terkini

Sikap berpolitik berlebihan tidak bawa kebaikan


KUALA LUMPUR:
Sikap berlebihan termasuk dalam berpolitik tidak akan membawa kebaikan kepada negara terutama ketika kes wabak COVID-19 yang semakin meningkat.

Justeru, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, partinya amat menyambut baik dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya ahli politik menghentikan segera segala 'politiking' yang boleh mengganggu kestabilan negara.

"Fokus harus digerakkan bagi kestabilan negara dan menggerakkan usaha memulihkan ekonomi dan membantu rakyat.

"PAS akan meneruskan usaha membantu masyarakat yang terkesan melalui jentera parti di seluruh negara," katanya kepada BH, hari ini.

Al-Sultan Abdullah hari ini bertitah, tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini buat masa ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam satu kenyataan, memaklumkan hasil perbincangan dengan Raja-Raja Melayu hari ini, Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan ketika ini berjaya menangani wabak COVID-19 dengan baik dan berkesan.

Selain itu katanya, Al-Sultan Abdullah juga bertitah menggesa ahli politik untuk menghentikan segera segala 'politiking' yang boleh mengganggu kestabilan negara.

Sementara itu, Tuan Ibrahim turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya mencari kaedah bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi yang dijadualkan, pada 5 Disember ini.

"Kami juga menggesa supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dilewatkan dalam tempoh maksimum yang dibenarkan perlembagaan," katanya.


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form