Berita Terkini

Sekali khianat, selamanya tidak selamat


SATU perkara yang bukan sahaja saya, tetapi ramai menganggapnya sebagai khurafat ialah tiada Umno, tiada Melayu. Memang parti tua itu menetapkan keanggotaannya dari kalangan orang Melayu, walaupun ramai juga keturunan India beragama Islam turut menjadi ahli sejak sekian lama.

Tiada Umno tiada Melayu itu boleh diterima kalau ia dalam erti kata sebenarnya.

Walau bagaimanapun, yang berlaku ialah sebaliknya. Melayu jaga Melayu apa kalau tanah simpanan Melayu kian hilang, tulisan Jawi memupus, bahasa Melayu kian tenat meskipun bertaraf bahasa kebangsaan, dan pelbagai lagi?

Saya melihat tumbangnya Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei 2018 lalu akan turut memupuskan Umno.

Ramai juga yang menyangka/mengharapkan sedemikian. Mereka berpegang pada kenyataan bahawa sekian lama hayat Umno bergantung pada harta dan wang ringgit.

Dengan BN tidak lagi memerintah negara, maka terhalang atau tertutup peluang/jalan Umno bernafas semula dan mengaut kekayaan negara lagi.

Walau bagaimanapun, itu tidak berlaku. Umno masih boleh (berpeluang) bernafas kembali. Sementelah hanya 22 bulan sahaja Pakatan Rakyat (PH) mentadbir negara, Umno masih bernyawa.

Memang beberapa pemimpinnya didakwa di mahkamah atas banyak kesalahan, terutama rasuah. Namun begitu, oleh kerana pemerintahan PH yang diketuai Tun Dr Mahathir tidak mendendami/melulu menghukum pemimpin Umno/BN atas prinsip ‘kedaulatan undang-undang’, proses perbicaraan berjalan begitu lama dan teliti.

Lantaran tempoh panjang dan kehati-hatian, tiada seorang pun yang didakwa itu telah ‘ke dalam’. Mereka belum sempat dihukum.

Memang bagus ‘keluhuran undang-undang’ kerana ia membezakan PH dengan BN. Walau bagaimanapun, ia seolah-olah memakan diri. Tambahan pula, tidak disedari ada yang diam-diam mengatur strategi licik untuk menjahanamkan PH.

Kian lama kian berhasil hinggalah terjadinya ‘Langkah Sheraton’ yang membawa pada kejatuhan PH. Rupa-rupanya memang ada yang mengkhianati rakan-rakan dalam PH. Mereka kini menjadi antara pemimpin utama kerajaan yang memerintah selepas 1 Mac 2020, iaitu Perikatan Nasional (PN – Kabinet dibentuk pada 9 Mac 2020).

Seiring dengan pentadbiran PN, Umno kembali hidup dan menyegar sekarang. Memang sebelum ‘Langkah Sheraton’ lagi, ia telah mengambil langkah drastik (yang tidak keterlaluan jika disangka sebagai helah sahaja seperti yang pernah dilakukan pada 1970-an ketika ia melemah) apabila bergabung dengan Pas (Pas juga tidak serik dan lupa pada peristiwa lama dimainkan oleh Umno).

Dengan pelbagai perkembangan yang berlaku dan dimaklumi semua pemerhati/peminat politik tanah air, Umno semakin ‘naik tocang’.

Selepas melakukan gencatan politik dengan PN apabila kembali menyokong Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia/PPBM, ia memberi bayangan menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula.

Walau bagaimanapun, seperti dijangka (pun diharapkan oleh penyokong PH, juga Parti Keadilan Rakyat dan DAP), Umno membuat pusingan U menyokong PN.

Kini, desakan semakin keras hingga akhirnya terdengar khabar PM akan melantik Timbalan Perdana Menteri (TPM) dari kalangan pemimpin Umno. Muhyiddin akan memilih calon Umno, tetapi bukan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi!

Pada awal pentadbirannya, Muhyiddin membuat kejutan apabila membentuk Kabinet tanpa TPM, tetapi hanya empat menteri kanan yang setaraf. Antaranya, termasuklah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Pertahanan), Datuk Sri Fadillah Yusof (Menteri Kerja Raya), dan Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin (Menteri Pendidikan).

Jika bercadang melantik Ahli Parlimen Umno, bagaimana dengan Azmin yang telah berusaha melakukan pengkhianatan? Beliau menyertai PPBM selepas dipecat dari PKR, dan memang bercita-cita menjadi PM.

Sudahlah Kabinet beliau dikritik kerana berskala besar, kini mahu ditambah pula dengan TPM yang tentunya bergaji lebih besar daripada menteri-menteri kanan.

Demi menyelamatkan kedudukannya, Muhyiddin sanggup memenuhi kehendak Umno? Maka akan semakin bersemaraklah Umno dalam politik tanah air. Seolah-olah kini ia yang lebih berkuasa daripada PM.

Meskipun enggan menerima Zahid, tetapi Muhyiddin berhadapan dengan tekanan lain apabila Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee menegaskan situasi akan menjadi terlalu janggal dan di luar tradisi Umno jika Presidennya tidak dilantik sebagai TPM.

Tambah Syed Ali, sementelah Zahid ialah mantan TPM dan antara menteri Kabinet yang cukup berpengalaman. Melantik Zahid, katanya, bererti memberi penghormatan kepada Umno.

Sebagai menghormati jawatan Zahid dalam Umno yang menjadi penyumbang terbesar kepada Kerajaan PN, tiada sebab Muhyiddin wajar mengenepi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Penyisihan Zahid juga, tambah veteran Umno itu, akan mencetuskan kekecewaan dan kemarahan akar umbi Umno terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin, dan tidak baik bagi PN menghadapi PRU15 nanti.

Sebelum ini, kita menganggap Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Dato’ Sri Najib Razak sebagai PM paling lemah, kini Muhyiddin lebih lemah. Kelemahannya kini mengulas semula Umno.

Muhyiddin telah melakukan pengkhianatan bersama-sama Azmin terhadap rakan-rakan dalam PH kerana mereka mahu menjadi PM. Namun begitu, mereka seperti tidak masak/memahami perangai Umno.

Umno, seperti yang pernah diingatkan oleh Allahyarham Tuan Guru Dato’ Bentara Nik Aziz Nik Mat, hanya akan berbaik-baik dengan musuhnya untuk ‘naik’ dan ‘hidup semula’. Ia tidak jujur.

Ketika ‘bernyawa-nyawa ikan’, Umno akan mencari ‘tonik’ biarpun dari pihak yang sebelumnya dimusuhi/dicaci. Walau bagaimanapun, setelah kembali kuat, ia ‘menendang’, malah membunuh ‘rakan sementara’nya itu, seperti yang dilakukan terhadap Pas.

Muhyiddin dan Azmin kini dalam situasi bahaya pula. Sekali Umno di‘berikan muka’, ia akan ‘sudah diberikan betis, mahukan paha’ pula! Mereka kini terjebak.

Umno telah menamakan tiga calon untuk jawatan TPM, iaitu Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hassan, Menteri Luar, Datuk Sri Hishammuddin Hussein, dan Ismail Sabri.

Jawatan TPM antara yang disuarakan pemimpin Umno sebagai syarat untuk terus menyokong Kerajaan PN.

RAYUSA


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

1 Comments

  1. Dalam islam tiada istilah memusuhi kerana dendam,,,permusuhan dalam islam demi kebaikkan untuk memyedarkan yg salah,,,pas bkn tam serik tapi pas mmg tak kenal erti serik dalam.menyebarkan syiar islam,,,jika tidak kerana pas bantu umno dengan mn sampai bila2 ahli2 umno akan sesat d sesatkan pemikiran oleh pimpinan umno,,ahli2 umno akam tetap berburuk sangka kepada pas,,amanat hj hadi akan terus d katakan mengkafirkan org2 umno, tiada lah org umno berani dtg menadah telinga mendengar kuliah agama drpd pas, inilah rahmat yg banyak org tk faham drpd tindakan pas bantu umno,,jika di takdirkan kelak mn ini hancur ia bukan hancur oleh pas tapi oleh umno,,,,rkyat semakin bijak memerhati menilai mana intan mana kaca,,,in sya allah kemenangan yg hebat akaan Allah kurniakan kepada pn pada pru15 kelak,,,in sya allah kerajaan yang akan tertubuh selepas pru 15 kelak kerajaan terbaik dalam.sejarah msia

    ReplyDelete
Previous Post Next Post

Contact Form