PETALING JAYA: Muhyiddin Yassin berkata beliau masih perdana menteri dan fokus utama ketika ini membantu memulihkan ekonomi negara serta menguruskan hal berkaitan Covid-19.
“Saya di sini masih perdana menteri. Saya tak mengikuti perkara itu (Anwar Ibrahim menghadap Agong).
“Tetapi saya serahkan kepada kebijaksanaan Agong. Tuanku sangat bijaksana. Faham dari sudut peranan baginda sebagai Agong berdasarkan perlembagaan. Saya beri kepercayaan penuh kepada baginda untuk putuskan apa yang perlu diputuskan,” katanya pada sidang media disiarkan secara langsung menerusi Facebook hari ini.
Istana Negara dalam kenyataan media selepas Presiden PKR Anwar
Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad
Shah berkata, ketua pembangkang itu sekadar mengemukakan jumlah ahli
Dewan Rakyat menyokongnya tanpa mengemukakan sebarang nama.
Susulan itu, Sultan Abdullah menasihati Anwar untuk akur dan
menghormati proses perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan.
Terdahulu, dalam sidang media selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan sokongan ahli Parlimen kepadanya untuk menubuhkan kerajaan baharu, Anwar mendakwa menerima sokongan lebih 120 ahli Parlimen dan dokumen sahih yang diserahkannya terdiri daripada akuan bersumpah dan pengesahan ketua parti.
Beliau tiba 10.25 pagi tadi dan meninggalkan Istana Negara pada 11.30 pagi dengan menaiki kereta Jaguar hitam sambil diiringi laungan “Reformasi” oleh penyokong yang berkumpul berdekatan pagar istana.
Pada 23 September lalu, Anwar mendakwa mempunyai “sokongan dan
majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti
untuk menubuhkan kerajaan baharu, majoritinya wakil rakyat Melayu dan
Islam.
Beliau enggan mendedahkan jumlah sokongan diperoleh, sebaliknya hanya
memaklumkan jumlah itu akan didedahkan selepas beliau menghadap Agong.
Beberapa parti dalam kerajaan menafikan memberi sokongan kepada Anwar, tetapi Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengakui ramai ahli Parlimen parti itu menyokong ahli Parlimen Port Dickson berkenaan.
______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily