Bagi memulihkan semula keadaan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dinasihatkan menggunakan Parlimen sebagai jalan untuk bekerjasama dan berunding dengan pembangkang, demi kebaikan negara sepanjang tempoh krisis wabak Covid-19.
Ahli Parlimen DAP, Liew Chin Tong berkata, bagi merealisasikan
kerjasama itu, Muhyiddin harus ‘mengorbankan’ Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Ini kerana beliau mendakwa, dua Menteri Kabinet itu telah melakukan
pelbagai perkara yang mengundang risiko kepada pentadbiran Muhyiddin.
“Sejak sesi Parlimen setengah hari pada 18 Mei 2020, saya telah beritahu bahawa Muhyiddin harus berhenti bergantung pada Hamzah sebagai ketua pengendali politiknya.
“Kerana Hamzah tidak memahami realiti politik baru setelah Umno dikalahkan dalam pilihan raya Mei 2018.
“Bagaimana negara boleh kehadapan sekarang? Kerajaan tidak seharusnya takut dengan Parlimen dan tidak boleh memperlakukan pembangkang seperti musuh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu lagi, langkah untuk mengisytiharkan perintah darurat juga adalah rancangan Hamzah dan Azmin yang secara terbuka mempertahankan cadangan tersebut.
Chin Tong berkata, cadangan untuk menggantung Parlimen sudah didengarinya dua minggu sebelum permohonan tersebut dibentangkan.
Bahkan, beliau juga membaca kenyataan Presiden MIC ,Tan Sr S Vigneswaran yang mungkin diminta untuk menguji sentimen masyarakat dengan cadangan tersebut.
Bagaimanapun, Pengarah Strategik DAP itu berkata, beliau tergamam apabila Muhyiddin benar-benar mengikuti cadangan itu, dan mempersembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong
“Untuk memupuk semangat muhibah antara dua blok parti, Muhyiddin perlu meminta Hamzah dan Azmin meletakkan jawatannya dan bertanggungjawab terhadap nasihat yang tidak sepatutnya berhubung pengisytiharan darurat, dan mewujudkan arena politik yang toksik.
“Dengan pengunduran Hamzah dan Azmin dari Kabinet, kerjasama di antara parti-parti gabungan Perikatan yang diperintah akan bertambah baik, dan hubungan yang lebih mesra antara kerajaan dan pembangkang dapat direalisasikan demi menangani Covid-19,” katanya lagi.______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily