Berita Terkini

Fetisisme 120


Apabila Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim membuat kenyataan semasa sidang media bahawa dia mempunyai lebih 120 kerusi untuk membentuk kerajaan baharu, senario politik tanah air menjadi gamat.

Keadaan menjadi semakin kalut apabila ahli parlimen Port Dickson mengadap Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 14 Oktober.

Angka 120 menjadi bilangan keramat yang penuh magis.

Angka tersebut mengandungi pesona tersembunyi yang mempengaruhi khalayak politik negara.

Saya mengkonsepsikannya sebagai fetisisme.

Istilah ini digunakan bagi menjelaskan karakter kekuatan atau daya pesona yang seolah-olah mempunyai unsur supernatural atau magis untuk membuat khalayak politik gusar atau ceria.

Hubungan ini fetisisme dalam konteks politik dapat dipandang sebagai bentuk ekspresi daripada imaginasi popular dan kebencian.

Popular bagi mereka yang hendak mengembalikan mandat rakyat dan benci bagi mereka yang bernafas di sebalik pelitup daripada sebuah kerajaan tebuk atap.

Bayangkanlah daripada sebuah tanda yang disimbol kepada angka 120, yang saya ekeprsesikan sebagai tanda kudus itu, dalamnya terkandung muatan tekstual atau kandungannya adalah senarai yang menjadi rahsia itu.

Daripada tektual senarai (nama-nama ahli parlimen yang menyokong Anwar) itulah yang menjadi imgainasi popular sama ada igauan atau harapan akan keyakinan daya pengaruh yang dimiliki angka 120 itu.

Tanda atau simbol 120 yang digunakan sebagai angka untuk menghadirkan majoriti tertentu di Dewan Rakyat kini telah mengambarkan fenomena fetisisme dalam kebudayaan politik.

Seratus dua puluh dengan penggunaan objek fetis (seperti senarai nama) telah mencetuskam kekuatan-kekuatan virtual di pentas media sosial.

Maka sejak Anwar mengungkapkan bilangan 120 atau lebih itu, gegak gempitalah wacana media sosial.

Umno parti gabungan dalam Perikataan Nasional (PN) menyuarakan pandangan akan kecenderungan ke arah angka atau bilangan 120 itu.

Presiden Umno, Zahid Hamidi membuat kenyataan longgar iaitu akur sekiranya benar beberapa ahli parlimen dari parti itu mengambil keputusan untuk menyokong Anwar.

Beliau berkata, Umno dan BN tidak dapat menghalang hasrat menyokong presiden PKR itu.

Maka berderetanlah kenyataan demi kenyataan sama ada kecenderungan menyokong atau penafian seperti kenyataan ahli parlimen Padang Rengas, Nazri Abdul Aziz bahwa tidak ada mana-mana ahli parlimen Umno memberi sokongan kepada pengerusi Anwar sebagai Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan baharu, kata

Nazri sanggah

Nazri menyanggah laporan sebuah portal pada Ahad yang mendakwa berlaku pergolakan dalam kalangan ahli-ahli parlimen Umno berhubung sokongan terhadap Anwar.

Bagaimanapun kenyataan Biro Politik Umno pada 13 Oktober, bahawa parti itu sedang mempertimbangkan untuk menarik diri daripada kerajaan PN dan mahukan syarat baru ditetapkan, merupakan isyarat rasa tidak puas hati pemimpin Umno secara terbuka.

Ia sekali gus mengkritik kepimpinan Muhyiddin Yassin.

Namun dengan kekuatan angka, senarai nama, kata dan kalimat muncul pula Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li mengadap Agong.

Sumber yang mengetahui perkara itu tidak menolak kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan isu melibatkan jawatan perdana menteri.

Ahli parlimen Gua Musang pada Rabu lepas mengumumkan salinan suratnya yang mendesak speaker Dewan Rakyat untuk membenarkan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dibahas.

Sumber juga berkata Tengku Razaleigh juga bertemu dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini susulan isu sama. (Malaysiakini, 13 Oktober, 2020)

Tidak dipastikan namun gambarnya bersama bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan isteri Siti Hasmah mula tersebar di dalam talian dengan pelitup muka yang ditarik ke bawah dagu, sementara Khairuddin Abu Hassan, isterinya pelakon Umie Aida.

Umie dan Siti Hasmah masing-masing dilihat memegang pelitup muka di tangan mereka. Ini menimbulkan tanda tanya. (Malaysiakini, 15 Oktober 2020)

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Ku Li dan Dr Mahathir bergabung bagi menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri.

Persoalannya, apakah Ku Li itu daripada orang kem Dr Mahathir Mohamad dan apakah Umno menjadikan Anwar sebagai kambing hitam.

Tanggapan yang cuba diutarakan sekarang bahawa Ku Li akan dilantik sebagai perdana menteri interim kononnya untuk “mententeramkan keributan: akibat usaha Anwar dengan dakwaaan 120 itu.

Dalam kem Mahathir menyuarakan secara terbuka apabila ahli parlimen Kubang Pasu, Amiruddin Hamzah menghantar notis usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin pada 15 Oktober.

“Saya telah menghantar surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat berkenaan usul tidak percaya terhadap YAB perdana menteri bertarikh 15 Oktober 2020 untuk sesi sidang parlimen yang akan datang.

“Bagaikan telur di hujung tanduk,” kata Amiruddin, penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad itu dalam satu kenyataan medianya.

5 usul dari kem Dr M

Bahkan kesemua lima ahli parlimen penyokong Dr Mahathir dan dia sendiri telah menghantar notis usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin.

Dr Mazlee Malik, dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pusat Penaja Pejuang pada 15 Oktober 2020 memutuskan agar kelima-lima ahli parlimennya membawa usul undi tidak percaya kepada perdana menteri (PM), termasuk Mahathir (Langkawi).

Apakah angka 120 telah terurai sekarang, tidaklah diketahui.

Bagaimanapun angka 120 ini boleh membawa perpecahan Umno kepada kem Anwar dan kem Ku Li.

Impak 120 dapat mengharu biru situasi politik negara.

Adakah Anwar dengan kekuatan 120 masih berupaya memasyurkan beliau sebagai PM kesembilan?

Semuanya bergantung kepada bagaimana angka ini dimainkan sama ada masih kekal atau berpecah kepada angka Ku Li.

Angka magis 120 memperlihatkan pelbagai plot, subplot, dan komplot bakal muncul dari pelbagai sudut, memandangkan kerajaan Muhyiddin berada terapung badai di lautan.

Angka ini boleh saja membawa kestabilan kepada negara.

Tidak hanya dengan angkanya. Keseluruhan wacana, iaitu bahagian-bahagian (dokumen-dokumen), kata-kata, ayat-ayat (senarai nama) memiliki kekuatan magis yang tersendiri, iaitu kekuatan merealisasi atau derealisasi.

Semoga segalanya berjalan lancar.

Itulah fetisisme 120!

ISMAIL HASHIM YAHAYA
Pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual, Komputeran,
Universiti Selangor (Unisel)


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form