Berita Terkini

Akar umbi Umno positif tentang pendirian keluar PN - Armand


Majoriti akar umbi Umno memberikan maklum balas positif berhubung keputusan Umno mempertimbangkan keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN), kata Armand Azha Abu Hanifah.

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno itu berkata keputusan malam tadi mencerminkan ketegasan mereka.

“[…] Respons majoriti daripada kepimpinan bahagian dan akar umbi cukup positif kerana ketegasan dalam keputusan dibuat oleh Umno,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

 Semalam, Biro Politik Umno mengumumkan parti itu mempertimbangkan menarik diri daripada menyokong gabungan PN dan akan mengenakan syarat baru jika ingin terus bekerjasama.

Parti itu juga mencadangkan kepada jawatankuasa pemandu Muafakat Nasional (MN) agar gabungan itu didaftar segera sebagai parti politik sah.

Sementara itu, Armand tidak menafikan keputusan Umno mungkin akan meraih sedikit respons negatif.

Antaranya, katanya, memperlihatkan parti itu seolah-olah tidak mengambil kira situasi semasa Covid-19.

Armand juga berkata parti itu harus terus tegas dalam memperjuangkan isu-isu dalam negara seperti mencari keadilan atas kematian pegawai bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, keselamatan perairan Sabah dan bantuan kepada rakyat.

“Saya juga berpendirian tidak setuju ada pilihan raya dalam keadaan situasi kita dalam pandemik Covid-19 serta dalam keadaan ekonomi yang belum stabil.

“Perdana menteri serta kepimpinan PM kena dengar suara bawah untuk kita dalami nada serta denyutan hati mereka dalam situasi terkini yang rata-rata mahukan kestabilan serta kesejahteraan rakyat dalam situasi terkini.

“Kurangkan mainan politik tetapi lebihkan khidmat bakti pada rakyat,” katanya lagi.

‘Rahsia terbuka’

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Pasir Gudang Noor Azleen Ambros menyifatkan keputusan itu seperti “rahsia terbuka” kerana sokongan parti itu selama ini hanya “merugikan” mereka.

“Umno mempunyai kekuatannya yang tersendiri, sokongan akar umbi yang teguh dan tidak berbelah bahagi, selain jentera di banyak peringkat yang bersedia menghadapi apa jua kemungkinan pada bila-bila masa.

"Apatah lagi soal dasar dan pengalaman menguruskan negara dalam pelbagai situasi, yang semestinya jauh lebih baik daripada PN.

“Untuk itu, Pemuda Umno Pasir Gudang menyokong keputusan dan pendirian terbaharu parti ini,” katanya juga menerusi kenyataan di akaun Facebooknya.


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form