Berita Terkini

Ahli MT Umno sokong kata dua kepada PN


PETALING JAYA:
Seorang ahli majlis kerja tertinggi Umno menyokong cadangan mengkaji semula sokongan kepada Perikatan Nasional (PN), mengatakan ia tidak boleh terus-menerus dibuli.

Bercakap kepada FMT, Puad Zarkashi setuju dengan keputusan itu, lebih-lebih lagi selepas keputusan pilihan raya Sabah yang menyaksikan Umno kehilangan status sebagai parti dominan di negeri itu.

Puad menuduh Umno “ditikam dari belakang” di Sabah, mendakwa PPBM “menaja” calon Bebas untuk lawan calonnya.

“Mungkin (Perdana Menteri) Muhyiddin Yassin sebelum ini melihat kerajaan PN adalah dokongan individu ahli-ahli Parlimen.

“Tetapi kali ini tidak. Keputusan Umno adalah muktamad dan mesti dihormati,” katanya, sambil menambah orang tidak boleh buat “sesuka hatinya”.

Semalam, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, berkata parti itu sedang mempertimbangkan menarik balik sokongan kepada PN.

Ahmad, yang bercakap selepas mesyuarat Biro Politik Umno, berkata syarat baharu Umno akan dikemukakan dalam pertemuan dengan Muhyiddin untuk memastikan kerjasama politik itu akan berterusan.

Puad juga berkata Umno “parti untuk rakyat” dan pandangannya mesti didengar.

Dengan peningkatan kes Covid-19, katanya, Umno mahu pakej rangsangan yang lebih baik untuk rakyat.

Katanya, cadangan pendaftaran Muafakat Nasional adalah untuk mengukuhkan kerjasama antara Umno dan PAS, supaya apa-apa keputusan akan dibuat secara konsensus.

Puad berkata antara syarat yang Umno mungkin kemukakan ialah semua kerusi yang dimenangi parti itu pada pilihan raya lalu, seperti Larut dan Mersing, kekal miliknya.


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form