Berita Terkini

Ajaran Wan Maseri bukan silibus program tarbiyyah Pas


KUANTAN -
Pas Pahang mengesahkan semua ajaran yang disebarkan bekas ahli jawatankuasa Muslimat Pas Kuantan, Profesor Dr Wan Maseri Wan Ahmad bukan silibus kepada program tarbiyyah Pas.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, ini kerana Pas mempunyai silibus sendiri yang telah disusun oleh Dewan Ulama dan Lajnah Tarbiyyah Pas.

"Pas juga tidak pernah mengiktiraf pendekatan ajaran Wan Maseri sebagai modul sistem tarbiyyahnya dan beliau (Wan Maseri) juga tidak pernah membawa pendekatan ajarannya di dalam organisasi Pas.

"Selama ini beliau bergerak menyebarkan pendekatan ajarannya secara individu bukan melalui jawatannya di dalam Pas dan juga bukan sebagai program parti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Semalam, tular satu surat yang didakwa telah dikeluarkan Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad mengenai pengajaran dan pengajian dalam ajaran Wan Maseri meragukan dan menyalahi kaedah penyampaian ilmu dan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mohd Yusof menyifatkan ajaran itu boleh membawa kesesatan dan keadah pembelajaran 'Universiti Antarabangsa Asmaul Husna' adalah dilarang untuk diajar dan disebarkan kepada masyarakat di Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut mengenai kenyataan itu, Rosli berkata, pihak Pas menghormati semua warta yang telah dikeluarkan oleh majlis atau institusi fatwa negeri-negeri yang berkaitan pendekatan ajaran tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, Wan Maseri telah meletakkan semua jawatannya di dalam Pas pada awal tahun 2019.

Tambahnya, beliau dipilih sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas kapasiti beliau sebagai ahli dan jawatankuasa Muslimat Pas Kuantan, ketika itu isu ajaran beliau belum tercetus.

"Pas Pahang mengucapkan terima kasih kepada beliau di atas jasa dan pengorbanan beliau selama ini yang membantu perjuangan Pas, termasuklah kesediaan beliau untuk menjadi calon Pas pada PRU 14 baru-baru ini.

"Semoga kita semua sentiasa di dalam pemeliharaan, sentiasa berada di laluan petunjukNya kerana tiadalah sebaik-baik pemberi petunjuk melainkan ALLAH SWT," katanya.

______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form