Berita Terkini

Warisan Plus, Bersatu dan BN umum calon pagi Khamis


Warisan Plus akan mengumumkan calon mereka bagi pilihan raya negeri (PRN) Sabah pada Khamis ini, iaitu dua hari sebelum hari penamaan calon.

Ini berdasarkan notis yang dihantar kepada media petang tadi.

Warisan dan sekutunya yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif  Bersatu (Upko) akan mengumumkan calon mereka pada jam 9.30 pagi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Sementara itu BN dan Bersatu pula akan mengumumkan calon mereka pada jam 10 pagi di sebuah hotel di Kota Kinabalu.

Difahamkan, BN dan Bersatu pada awalnya tidak mempunyai rancangan untuk mengadakan majlis itu secara bersama berdasarkan jemputan media yang dihantar kepada media lebih awal.

BN pada mulanya dijadualkan mengumumkan calon pada Rabu manakala calon Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) pula akan diumumkan pada hari berikutnya.

Hubungan antara Umno Sabah dan Bersatu Sabah dilapor tegang berikutan tuntutan bertindih oleh kedua-dua parti berasaskan Melayu Islam itu dalam isu rundingan kerusi.

Bagaimanapun dilaporkan kedua-dua parti telah mencapai kata sepakat.

Umno Sabah dilapor akan bertanding 30 kerusi manakala Bersatu dijangka meletakkan 20 calon.

Ketika dihubungi, Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Yakubah Khan mengesahkan BN akan mengumumkan calon bersama Bersatu pada Khamis ini.

BN menangguhkan pengumuman calonnya kerana menunggu permohonan rayuan oleh bekas Ketua Menteri Musa Aman di Mahkamah Rayuan hari.

"Kita tunggu sebab kalau kita umum awal-awal, tiba-tiba pilihan raya dibatalkan,  jadi itu sebab kita tunggu keputusan baru kita buat," katanya.

Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan yang dikemukakan Musa Aman bersama 32 lagi Adun berhubung keputusan Yang Dipertua Negeri Sabah membubarkan Dun pada 30 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Yakubah berkata beliau tidak pasti sekiranya parti yang memihak kepada PN, termasuk Parti Solidariti Tanah Airku (Bintang) akan menyertai majlis pengumuman calon Khamis ini.

"Saya tidak pasti," katanya.

Awal hari ini, Presiden Star, Jeffrey Kitingan memberitahu bahawa beliau tidak berpuas hati dengan rundingan kerusi antara parti-parti dalam PN dan BN apabila partinya hanya diberikan enam hingga lapan kerusi sedangkan parti itu menuntut sebanyak 15 hingga 18 kerusi di Sabah.




______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form