Berita Terkini

Surat terbuka buat bekas rakan-rakan dalam PAS


Salam dan sejahtera buat bekas rakan-rakan dalam PAS sekalian! Meskipun genap lima tahun kita berada dalam wadah perjuangan yang berbeza, pada hakikatnya, kita masih lagi bersahabat. Jiwa-jiwa kita bertaut dalam memperjuangkan lslam yang indah dan adil.

Rasulullah (SAW) berpesan (maksudnya): “Agama itu nasihat.” Dalam rangka anjuran itu, saya bagi mewakili rakan-rakan menulis surat terbuka (ST) ini, buat renungan dan tindakan sahabat-sahabat dalam PAS.

Sekian lama berhajat menasihati kalian. Amat rumit untuk ditulis. Jutaan maaf, namun atas pesanan lisan Nabi Junjungan di atas, saya teruskan.

Andainya tuan-tuan setuju dengan syor saya, maka tuan-tuan wajar segera menasihatkan pimpinan tertinggi PAS.

Andainya mereka enggan mengambil tindakan atas syor-syor tuan-tuan, maka tuan-tuan punya pilihan untuk tindakan susulan.

Untuk pendekkan ST ini, saya akan hanya fokus satu isu sahaja. Kalau dizinkan Allah, saya akan tulis ST ini bersiri.

Tentunya pimpinan PAS boleh berhujah 'merasional' pelbagai tindakan mereka, khasnya Tuan Guru Presiden (TGP). Biar wujud satu wacana, baik sekali.

ST pertama ini merungkaikan mengapa PAS mengekalkan sikap menyokong pimpinan Tertinggi Umno, sekali gus Umno itu sendiri (sehingga tertubuhnya gabungan Muafakat Nasional).

Saya mengajak ahli-ahli dan ulama PAS di peringkat akar-umbi, untuk memikirkan tentang pendirian TGP dan timbalan presiden PAS (TPP), terhadap Najib Razak (NR) serta Zahid Hamidi (ZH), mantan dan presiden Umno, sekali gus Umno itu sendiri.

Sangat 'menakjubkan' tindakan TGP, TPP serta pimpinan yang lain (seperti dalam gambar), yang masih menyokong NR setelah jelas hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohammad merakamkan “tiada sebarang merit meragui apa yang dilakukan tertuduh”, lantas mensabitkan kesalahan tujuh pertuduhan - pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram - melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

NR dijatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda sebanyak RM210 juta. Dalam penghakiman penuh setebal 801 muka surat, yang diterbitkan beberapa hari lalu, hakim merakamkan jenayah-jenayah ini sebagai “yang paling teruk” melibatkan individu tertinggi dalam kerajaan.

Sementara menyebutkan bahawa NR tidak menunjukkan penyesalan terhadap pertuduhan, hakim juga merakamkan “sesungguhnya adalah satu pengkhianatan kepada kepercayaan yang diberikan”!

Apabila pimpinan bersahaja...

Untuk rekod, NR masih berdepan dengan pertuduhan melibatkan 42 lagi pelbagai jenayah kewangan lain.

Apabila TGP, TPP dan pimpinan PAS amat bersahaja, setelah keputusan disabitkan, apakah ahli dan ulama PAS di peringkat akar-umbi, hanya mampu berdiam diri?

Mereka boleh tidak menegur pimpinan di peringkat awal, berdasarkan kaedah qawaid fiqqiyah “tidak bersalah kecuali disabit kesalahan”, atas apa jua sebab atau kepentingan.

Namun, setelah dijatuhkan hukuman ke atas NR, maka tidak layak lagi sesiapa pun untuk berbaik sangka dan meneruskan sikap lama, seperti yang ditunjukkan pimpinan tertinggi PAS. Lalu ahli dan pimpinan ulama akar-umbi perlu menasihatkan pimpinan PAS dengan surah Al- Maidah, ayat 2: “Janganlah kamu tolong menolong pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

Paling tidaknya, TGP dan TP PAS, wajar menasihatkan NR untuk insaf dan menyatakan penyesalan atas kesalahan-jenayah yang telah dilakukannya, sebagai jalan pengislahan yang paling murni untuk dirinya dan pendirian ini mestilah diumumkan sebagai pendirian rasmi sebuah parti Islam.

Sebaliknya, apakah tajuk perbualan yang boleh dibayangkan antara NR dan pimpinan PAS dalam pertemuan (gambar) selepas hukuman diputuskan? Adakah pertikaian pensabitan dan rayuan? Wallahualam.

Apakah TGP atau TPP telah nyatakan pendirian secara jujur dan berani kepada NR seterusnya kepada umum dalam berdepan isu yang menuntut kejelasan serta ketegasan prinsip dan keutuhan moral sebuah parti Islam? Dan selepas itu, rencana politik kepartian antara PAS dan Umno, mungkin sahaja boleh diteruskan.

Amat wajar ahli dan ulama PAS akar-umbi mengingatkan pimpinan PAS supaya tidak terjerumus dalam implikasi hadith Rasulullah (SAW) yang masyhur ini.

Ketika ditanya “Apakah asobiyah itu?” Rasulullah langsung menjawab bahawa “Asobiyah itu adalah 'Kamu membantu kaummu dalam berbuat Kezaliman'.”

Persis sekali!

Nah, antara kezaliman, kemaksiatan dan jenayah terbesar, di akhir zaman ini, adalah wujudnya “pemimpin-pemimpin negara yang merompak dan mencuri wang serta khazanah kekayaan negara”. Hari ini jenayah ini disebut dengan istilah modennya, 'kleptokrasi'.

Demi 'kesatuan Melayu-Islam'

PAS, sebagai parti lslam, semestinya mengambil peranan utama dalam memerangi jenayah atau jarimah yang menjejaskan kesejahteraan rakyat dan merosak kemakmuran negara. Anehnya PAS senang dengan parti yang sarat dengan amalan kleptokrasi. Amat ironis sekali.

Pendirian TGP, TPP terhadap NR, dan secara lanjutannya, juga terhadap ZH, memberi erti PAS seolah-olah “bertoleransi bahkan selesa” akan perilaku dan perbuatan jenayah, justeru kerana kesamaan bangsa dan kesatuan agama.

Apakah demi mencapai 'kesatuan Melayu-Islam', PAS jelasnya telah membelakangkan peringatan keras hadith ini.

Apakah doktrin asobiyah secara jahiliah moden ini menjadi amalan ‘real politik' PAS, yang juga semakin hilang perhitungan kompas moral dan nilai akhlak lslamnya? Ahli dan ulama akar-umbi mesti berani mengangkat kritikan ini kepada TGP dan TPP!

Doktrin ini telah melahirkan mutakhir ini, fahaman kepentingan Melayu-lslam sebagai teras kepimpinan negara, walaupun mereka itu jelasnya dari golongan kleptokrat atau perompak-penyamun dan kini pengkhianat. Malang sekali!

Demi kuasa, apakah ini yang didakwa sesetengah PAS telah menganut fahaman al-lbahiyah (fahaman boleh belaka) tanpa sedar, sehingga segalanya boleh ditangguh atau ditunda, demi menjaga kuasa? Kuasa pula tidak dikira dari mana datangnya, sama ada melalui tebuk atap atau pintu belakang - pengkhianatan.

Aduh! Amat jauh sudah inhiraf (penyimpangan) PAS!

Ataukah PAS bermudah bersandarkan akan mana-mana qawaid fiqqiyah mengikut selera politik, seperti akhaafud dhararain (mengambil mudarat yang lebih ringan), kononnya, DAP adalah kemudaratan yang lebih besar, yang perlu dibenteras dan dinyahkan dahulu.

Ahli dan ulama PAS akar-umbi wajib menegur pimpinan tertinggi khasnya TGP, TPP dan Majlis Syura Ulama!

Andainya pimpinan enggan akui, lantas tidak mahu diperbetulkan, maka menjadi kewajipan ahli dan ulama akar-umbi parti, untuk mencari wadah perjuangan yang lebih konsisten dan iltizam.

Semoga ST pertama ini, ditatapi dan direnungi oleh ahli-ahli serta ulama akar-umbi PAS, yang merupakan sahabat-sahabat yang kami kasihi dan kami doakan, agar sentiasa dilindungi dan dirahmati Allah Azzawajalla.

Akhukum fillah.

DR DZULKEFLY AHMAD
Pengarah strategi Amanah

______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

1 Comments

  1. Benci benar kamu kat presiden PAS walapun sama sama ikhwan no. Layak sungguh kamu jd terompah kayu dap. Pendekkan tulisan kamu kpd satu ayat sahaja...'yes to aljubr (pinjam kata2 presiden parti Islam pan) and dap but no to TGHH'.

    ReplyDelete
Previous Post Next Post

Contact Form