KOTA BHARU: Kedudukan PAS sebagai sebahagian kerajaan Perikatan Nasional (PN) menuntut pemimpin dan ahlinya memperluas perspektif tentang tanggungjawab agar tidak lagi terikat kepada kelompok dan penyokong semata-mata, kata Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan.
Katanya, ini kerana PAS perlu memenuhi kehendak golongan lain yang mempunyai pemikiran, harapan dan latar belakang berbeza.
“Perubahan iklim politik yang berlaku pada awal tahun ini menyaksikan sebilangan pimpinan PAS diberi kedudukan dalam kerajaan.
“Justeru tanggungjawab PAS semakin banyak dan berat kerana bertanggungjawab ke atas semua rakyat Malaysia,” katanya semasa berucap pada Muktamar Tahunan PAS ke-66 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
Hadir sama Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Takiyuddin yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata, perubahan politik turut menuntut PAS bertindak balas lebih cepat dalam menghadapi semua isu berbangkit agar dapat menyumbang kepada kerajaan.
“… namun pada masa tidak hanyut terutamanya (tentang) perkara yang tidak menyumbang kepada kebaikan, kebenaran dan kebajikan secara umumnya,” tegasnya.
Muktamar pada tahun ini dijalankan dalam keadaan norma baru dengan kehadiran kira-kira 400 perwakilan sebagai mematuhi prosedur operasi standard perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Takiyuddin juga berharap perwakilan dari beberapa negeri seperti Kedah, Perlis dan Sabah yang tidak dibenarkan menghadiri muktamar tersebut susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri berkenaan, menerima keputusan yang dibuat pucuk pimpinan. - FMT
______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily