Kumpulan reformasi pilihan raya Bersih menawarkan untuk menganjurkan debat antara ahli politik yang bersaing untuk menjadi ketua menteri Sabah pada pilihan raya negeri akan datang.
"Kami percaya debat pilihan raya seperti ini akan meningkatkan budaya politik di Sabah dengan lebih banyak perbahasan mengenai dasar, dialog politik dan pertukaran pemikiran untuk mengekalkan persekitaran politik yang lebih demokratik, intelektual, dan harmoni," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bersih berkata pihaknya telah menghantar surat jemputan kepada lima calon jawatan ketua menteri Sabah, iaitu Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal, Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Bung Moktar Radin, Presiden Parti Cinta Sabah Anifah Aman, ketua umum Pertubuhan Nasional Sabah Bersatu Pandikar Amin Mulia dan bekas ketua menteri Chong Kah Kiat dari Parti Liberal Demokratik.
"Objektif utama perdebatan adalah untuk memungkinkan semua pengundi Sabah mendengar wawasan, manifesto dan program daripada calon-calon jawatan ketua menteri oleh gabungan politik dan parti yang berlainan supaya semua pemilih dapat membuat keputusan yang tepat dalam menentukan masa depan Sabah.
"Calon ketua menteri akan diminta untuk mengemukakan manifesto pilihan raya, visi, dan program mereka untuk Sabah jika mereka terpilih sebagai ketua menteri dan membentuk kerajaan negeri untuk lima tahun akan datang.
"Soalan-soalan penting berkaitan dpolitik, pembangunan ekonomi, pendidikan, serta pembangunan sosial dan budaya di Sabah akan diajukan kepada para calon," kata Bersih.
Kumpulan itu berkata seorang moderator yang berkecuali akan mengendalikan debat berkenaan.
Menurut Bersih, debat itu akan diadakan pada 19 September dari 7.30 malam hingga 10.00 malam di Kota Kinabalu, Sabah.
Kumpulan itu meminta calon-calon untuk menjawab undangannya pada hari Isnin akan datang.
Sekiranya sekurang-kurangnya dua calon bersetuju, maka Bersih akan terus mengatur majlis debat itu dan menyiarkannya secara langsung di media arus perdana dan sosial.
Esok, hari penamaan calon untuk pilihan raya negeri Sabah manakala hari pengundian jatuh pada 26 September.
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily