KUALA NERANG - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak disiarkan secara langsung.
Menurutnya, tidak menjadi masalah perkara itu dilakukan kerana rakyat berhak mengetahui perkembangan semasa berhubung kes berkenaa.
"Perkara ini saya serah kepada mahkamah sama ada disiarkan secara langsung ataupun tidak.
"Selama ini tidak pernah berlaku.
"Ada baik supaya rakyat tahu berapa banyak wang di negara ini dirompak," katanya selepas Program Majlis dialog bersama penoreh getah seluruh Padang Terap di Pengkalan Tok Mas, Mukim Pedu, dekat sini.
Najib sebelum ini melalui Facebook rasminya menyokong siaran langsung kerana ia akan membantu ketelusan dan memastikan 'rule of law' (pemerintahan mengikut undang-undang) dapat dipatuhi kerana rakyat mempunyai hak untuk mengetahui kebenaran.
Perbicaraan akan bermula Rabu depan dan Najib berdepan tujuh tuduhan SRC International Sdn Bhd.
Dalam perkembangan lain, Anwar berharap pengurusan Felda akan mengambil kira pandangan Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF), Datuk Mazlan Aliman bagi menjawab kegelisahan yang dihadapi oleh para peneroka.
Menurutnya, Mazlan adalah jurucakap kepada peneroka Felda pada zaman pemerintahan BN sehinggalah kepada kerajaan PH hari ini.
Sebelum ini, pertubuhan bukan kerajaan Felda meluahkan rasa kecewa kerana masih belum ada sebarang pelan pemulihan selepas PH membentuk kerajaan sejak 10 bulan lalu sebaliknya bayaran pinjaman sara hidup pula diturunkan.
Tags
Berita