Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mencadangkan MCA hanya bertanding di kawasan bandar sahaja dengan kawasan majoriti Melayu boleh diserahkan kepada komponen Barisan Nasional (BN) lain.
Dalam hantaran di Facebook, Adun Merlimau itu turut memuat naik laporan berkait lapan resolusi Pemuda MCA antara lain mencadangkan pengembalian pilihan raya tempatan (PBT) bermula di Wilayah Persekutuan.
Akmal menekankan, cadangan dikemukan Ketuanya Ling Tian Soon bukan pendirian Pemuda BN.
“Pendirian ini bukan pendirian Pemuda BN dan semestinya bukan pendirian pemuda Umno.
“Saya juga ingin mencadangkan kepada MCA agar selepas ini MCA dah boleh bertanding di kawasan bandar sahaja dan kawasan yang majoriti melayu boleh diserahkan kepada parti komponen yang lain,” katanya dalam hantaran itu.
Awal hari ini, FMT melaporkan bahawa Ling mencadangkan pilihan raya PBT berkenaan dalam resolusi pada Perhimpunan Agung Pemuda MCA.
Katanya, langkah tersebut akan memberi penduduk Wilayah Persekutuan peluang memilih wakil mereka dalam kerajaan tempatan, seperti rakyat di negeri lain yang mempunyai peluang mengundi wakil untuk DUN dan Parlimen.
Pilihan raya PBT pernah diadakan sebelum digantung pada 1965 dan secara berkesan dimansuhkan setahun kemudian.
Pada 2008, kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) cuba menghidupkan semula pilihan raya itu bagi memenuhi janji pilihan raya, namun tidak berhasil.
Pada Februari 2024, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pilihan raya PBT bukan keutamaan kementeriannya kerana kementerian memberi tumpuan kepada bidang lain – seperti keselamatan jalan raya serta kebersihan tandas dan longkang awam. - FMT
______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
