Kuching: Parti pembangkang di Sarawak, Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) hari ini mengumumkan senarai 26 bakal calon yang dipertaruhkan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-13 (PRN Sarawak Ke-13), 12 Disember ini.
Presidennya, Dr John Brian Anthony berkata, barisan calon yang merangkumi pelbagai latar belakang dan peringkat umur.
Beliau berkata, ia selaras dengan usaha parti berkenaan menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengundi.
Antara yang bakal ditampilkan ialah penyanyi veteran Iban, Stanley Phua; Naib Presiden PBDS, Dr Bego Sepop; dua peguam iaitu Sanjan Daik dan John Antau Linggang serta seorang calon wanita, Miri Janging@Mary Jangin.
Beliau berkata, jumlah calon PBDS itu tidak terhad 26 orang yang diumumkannya hari ini berikutan masih ada lagi yang menyatakan minat untuk mewakili parti berkenaan.
"Jumlah calon PBDS mungkin akan bertambah menjelang hari penamaan calon," katanya pada sidang media memperkenalkan calon dan manifesto PBDS bagi PRN13 Sarawak di sebuah hotel di sini, hari ini.
John Brian akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (Kakus), manakala Stanley Phua di Dudong; Damien Epoi (Mulu); Bayang Teron (Opar); Jani Unggu @ Daniel Jani (Tasik Biru); Sanjan Daik (Mambong); Lebanon Ero (Tarat); Kembi Rigong (Tebedu); Vincent Amis (Kedup) dan Joannes Ruba (Bukit Semuja).
Turut dicalonkan Petrus Simon Awan (Balai Ringin); John Antau Linggang (Krian); Belitang Abeng (Kabong); Tedwin Beti (Ngemah) dan Satia Brian (Machan).
Sementara itu, Bernard Tahim Bael akan dicalonkan di Kemena; Baba Emperan (Samalaju); Jimmy Uding (Bukit Begunan); Thomas Buan (Kalaka); Anthony Didy Entawamat (Tamin) dan Leighton Manjah (Baleh).
Bagi kawasan utara, PBDS menampilkan Miri Janging @ Mary Jangin di Telang Usan; Pita Asut @ Peter Asut (Ba'kelalan); Bego Sepop (Serembu); Perri Lusorg (Batu Danau) dan Sulang Limu(Lambir).
______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
