PKR Sarawak mengumumkan tidak bertanding PRN ke-13 akan datang, mengatakan ia menjunjung tinggi prinsip kerjasama politik, semangat muafakat serta persefahaman yang dibina bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam kerajaan perpaduan.
Pengerusi PRK Sarawak, Mahmud Epah, dalam kenyataan bersama Naib Presiden Roland Engan dan Penasihat Hafsah Harun berkata pertimbangan utama yang mendasari pendirian itu adalah sebagai tanda menghormati semangat kerjasama, muafakat, dan komitmen politik dalam kerajaan perpaduan, “bagi memelihara kestabilan politik di peringkat negeri dan persekutuan”.
Ia juga bagi memperkukuh hubungan kerjasama antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan Sarawak dalam melaksanakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963, serta memastikan agenda pembangunan, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat terus diberikan perhatian, katanya.
“Majlis pimpinan negeri mengarahkan seluruh jentera dan pimpinan parti di semua peringkat di Sarawak agar mematuhi dan menghormati ketetapan ini serta terus menjaga hubungan baik dengan rakan-rakan komponen dalam kerajaan perpaduan khususnya GPS,” katanya.
PKR menyertai pilihan raya di Sarawak sejak 2001. PRN lalu bagaimanapun menyaksikan ia gagal memenangi sebarang kerusi selepas mengemukakan 28 calon.
Satu lagi parti komponen Pakatan Harapan, iaitu Amanah, juga tidak bertanding PRN kali ini. DAP telah mengumumkan 12 calon, dan mempunyai suatu persefahaman dengan Parti Bansa Dayak Sarawak.
______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
