Berita Terkini

Kemungkinan besar akan menyertai PAS - Razali


Exco Terengganu, Razali Idris berkata beliau kemungkinan besar akan menyertai PAS selepas menyelesaikan tugasnya sebagai ahli Bersatu.
Adun Kijal yang meletak jawatan sebagai pengerusi Bersatu Terengganu pada Ogos lalu berkata beliau mungkin akan mengikuti langkah isterinya Nor Aizam Abu Bakar yang menyertai parti Islam itu baru-baru ini, lapor Sinar Harian.
“InsyaAllah, kemungkinan besarlah tu (sertai isteri). Doakan saya sihat, saya mampu lagi untuk membantu parti dan kerajaan.
“(Bagaimanapun) Saya kena habiskan tugas saya dalam parti saya. Selagi saya sebagai ahli, saya habiskanlah,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Razali pada Okt lalu memberi bayangan akan meninggalkan Bersatu untuk menyertai parti baharu, lebih sebulan selepas melepaskan jawatan sebagai pengerusi Bersatu Terengganu pada Ogos lalu.
Beliau tidak mendedahkan sebab peletakan jawatannya itu selepas hampir 10 tahun bersama parti serpihan Umno itu.
Peletakan jawatannya kemudian disusuli dua lagi Adun Bersatu yang melepaskan jawatan masing-masing sebagai ketua penerangan dan bendahari Bersatu Terengganu.
Bersatu berdepan beberapa siri peletakan jawatan dan mengenakan tindakan terhadap beberapa pemimpin susulan pemecatan bekas timbalan presidennya, Hamzah Zainudin, pada Februari.
Hamzah kemudiannya melancarkan Wawasan, yang menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) bersama Pejuang pada Jun.
PAS, yang menerajui PN dan kerajaan Terengganu, menamatkan kerjasama politiknya dengan Bersatu pada Jun, menyebabkan hubungan kedua-dua parti itu retak dan membawa kepada penggantungan sementara PN oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Hanisya Abd Hamid

______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form