Berita Terkini

Kekalahan dan dilema PH


Oleh: Luthfi Yusri

KEKALAHAN demi kekalahan dalam pilihan raya negeri sepatutnya menjadi isyarat bahawa Pakatan Harapan (PH) sedang berhadapan masalah yang jauh lebih besar daripada kelemahan jentera atau kegagalan calon. Selepas Johor, Negeri Sembilan dan kini Melaka, persoalan yang perlu dijawab bukan lagi mengapa PH kalah, tetapi mengapa pengundi semakin tidak melihat PH sebagai pilihan politik yang meyakinkan.

Kekalahan ini mengingatkan saya kepada senario yang berlaku kepada Manchester United baru-baru ini. Sudah jatuh, ditimpa tangga. Hilang punca dan hala tuju sehingga hampir sebulan tiada kemenangan dan menduduki tangga ke-18 liga. PRN Melaka memberikan gambaran yang cukup jelas.

Daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Barisan Nasional (BN) memenangi 21 kerusi, Perikatan Nasional (PN) 3 kerusi, manakala PH hanya memperoleh 4 kerusi dan kesemuanya melalui DAP. PKR dan Amanah gagal memenangi sebarang kerusi. Lebih membimbangkan, PH kehilangan beberapa kawasan yang sebelum ini menjadi kubu sokongannya.

Keputusan ini bukan sekadar kemerosotan angka. Ia memperlihatkan persoalan tentang keupayaan PH mempertahankan sokongan tradisional, menembusi pengundi Melayu dan mengekalkan keyakinan pengundi atas pagar. Krisis identiti, kebangkitan politik kanan dan memanfaatkan peluang mentadbir.

Salah satu cabaran terbesar PH ialah perubahan landskap politik yang semakin dipengaruhi arus politik kanan. Di Malaysia, perkembangan ini dapat dilihat melalui pengukuhan naratif Melayu-Islam dan politik konservatif yang berjaya dimanfaatkan oleh BN dan PN. K

erjasama BN-PN bukan sekadar penyelarasan kerusi. Ia memperlihatkan kemampuan dua blok politik yang sebelum ini bersaing untuk menggabungkan kekuatan akar umbi, sentimen identiti dan jaringan sokongan masing-masing.

Faktor perpindahan undi memberikan satu kesan euforia terhadap PH. Kalau hendak dilihat beberapa kawasan PH kalah dengan majoriti yang besar apabila BN dan PN bergabung. Kajian ILHAM Centre menjelang PRN Melaka menunjukkan 91% pengundi PN
bersedia mengalihkan sokongan kepada BN, manakala 78% pengundi BN bersedia menyokong calon PN.

Analisis ramalan dan keputusan majoriti PRN Melaka
Berdasarkan kepada analisis diatas, majoriti kawasan yang dimenangi oleh BN-PN mempunyai majoriti yang lebih besar berbanding kerusi yang dimenangi oleh PH.

Bagi kerusi yang dimenangi oleh BN-PN, sebahagian besarnya mempunyai majoriti lebih 4,500 undi ke atas. Hal ini memberikan signal bahawa faktor perpindahan undi di kawasan majoriti Melayu memang berlaku dengan efektif.

Sebagai contoh, NASR menjangkakan majoriti undi di DUN Duyong sekitar 502 undi tetapi pada hari keputusan sebanyak 10,040 majoriti undi berjaya diraih oleh BN-PN. Sedangkan pada PRN Melaka 2021 yang lalu, majoriti undi yang dimenangi oleh BN hanya 200 undi sahaja bagi perlawanan 6 penjuru, berbanding 2 penjuru pada PRN Melaka 2026. Penyatuan ini menjadikan PH berhadapan cabaran yang lebih besar, khususnya di kawasan majoriti Melayu.

Jika senario yang sama berlaku di negeri-negeri yang lain sudah tentu, sukar untuk PH mengekalkan kuasa sedia. Selain itu, berdasarkan wawancara Nazri Kahar dan Ketua Menteri Melaka, Abd Rauf Yusof juga ada menekankan bahawa BN mempersiapkan PRN Melaka ini dalam tempoh 2 tahun sebelum pilihan raya berlaku.

BN sudah menjalankan gerak kerja parti di akar umbi seperti gotong royong, majlis keraian serta jamuan rakyat dan bagi pentadbiran kerajaan negeri Melaka pula terus menyantuni rakyat melalui program Sayang Melaka dan Wakil Rakyat untuk Rakyat. Hal ini memberikan nilai tambah kepada kerajaan yang diketuainya untuk lebih dekat dengan denyut nadi rakyat.

Dalam perspektif ini, harus diakui bahawa BN lebih bersedia berbanding PH dalam memastikan mesej yang benar dapat disampaikan kepada pengundi. Peluang mengemudi kerajaan digunakan sebaiknya untuk mendapat akses dan membaca pola pengundi untuk terus menyokong parti memerintah. Di Negeri Sembilan, bekas Menteri Besar Aminuddin Harun tewas di Linggi.

Di Melaka, bekas Menteri Besar Adly Zahari tewas di Bukit Katil. Hal ini sewajarnya mengetuk dan mengejutkan pimpinan PH di Negeri dan Pusat untuk lakukan sesuatu di samping mencari formula untuk melawan sentimen-sentimen Melayu-Islam dan anti DAP.

Cabarannya ialah bagaimana PH ingin membina politik yang progresif tetapi dekat dengan keresahan dan citra masyarakat Melayu, tanpa mengorbankan prinsip keterangkuman yang mereka ada. DAP memberikan kerusi,

Amanah dan PKR menjadi persoalan

Satu lagi perkara yang perlu dibincangkan secara jujur ialah ketidakseimbangan kekuatan parti dalam PH. Dalam tiga PRN tersebut, DAP secara relatifnya masih menjadi penyumbang kerusi terbesar kepada gabungan. DAP memenangi enam kerusi di Johor, sembilan di Negeri Sembilan dan empat di Melaka.

Walaupun DAP turut berhadapan pengurangan sokongan undi di sesetengah kawasan, keupayaannya mengekalkan kemenangan menunjukkan bahawa parti itu masih mempunyai asas sokongan dan jentera yang berfungsi. Sebaliknya, prestasi Amanah dan PKR menimbulkan persoalan yang lebih besar.

Amanah gagal memenangi sebarang kerusi di Negeri Sembilan dan Melaka. Di Johor, parti itu hanya memperoleh satu kerusi.
PKR pula hanya memenangi satu kerusi di Johor iaitu Puteri Wangsa, kawasan campuran yang dimenangi oleh Dr Maszlee Malik. Di Negeri Sembilan, PKR memperoleh dua kerusi, manakala di Melaka gagal memenangi sebarang kerusi.

Angka ini tidak semestinya membuktikan bahawa kedua-dua parti tersebut tidak lagi relevan. Namun, ia memperlihatkan masalah daya tarikan elektoral yang tidak boleh disembunyikan di sebalik kekuatan DAP.

Dalam persepsi sebahagian pengundi, Amanah dan PKR mungkin menjadi liabiliti kepada PH khususnya apabila kedua-duanya gagal berfungsi sebagai jambatan yang berkesan untuk menarik sokongan Melayu. Ini pergelutan yang benar dan perlu diselesaikan.

DAP pula terus menjadi parti yang mampu menterjemahkan sokongan pengundi bandar kepada kemenangan kerusi. Ironinya, parti yang sering dijadikan sasaran serangan politik oleh lawan PH masih menjadi penyumbang kerusi paling konsisten kepada gabungan tersebut.

PH perlu bertanya jika DAP terus menjadi penyumbang utama kerusi, apakah sumbangan elektoral yang boleh ditawarkan oleh PKR dan AMANAH untuk memperluas sokongan gabungan, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu? Bagaimana PKR dan Amanah ingin mengemudi undi Melayu-Islam yang menjadi milik BN-PN?

Pengundi tidak lagi membeli nostalgia reformasi

Sebelum 2018, PH mempunyai naratif yang jelas khususnya berkaitan reformasi, tolak rasuah dan mengangkat nilai demokrasi. Namun selepas menjadi kerajaan, identiti tersebut banyak dipersoal. Kerjasama dengan BN di peringkat Persekutuan pula menimbulkan persoalan tentang perbezaan antara identiti politik PH dengan rakan gabungannya.

Naratif yang bermain PH bekerjasama dengan pemimpin kleptokrat, kes-kes berprofil tinggi dijadikan status DNAA dan baru-baru ini pengampunan kepada Najib Razak berlaku dalam pemerintahan PH. Sebahagian pengundi tradisi PH mungkin akan merenung dan memikirkan semula sejauh mana PH mengemudi isu-isu reformasi ketika memerintah pada hari ini.

Politik demokrasi menuntut kompromi. Tetapi kompromi tanpa naratif yang konsisten boleh menyebabkan pengundi hilang arah untuk memahami apa yang sebenarnya diperjuangkan oleh sesebuah gabungan. Di peringkat negeri, mereka berlawan sesama sendiri tetapi esoknya berada di dalam satu mesyuarat untuk menjalankan pentadbiran kerajaan perpaduan.

PH juga tidak boleh terus menganggap isu rasuah dan reformasi secara automatik menjadi modal politik yang mencukupi. Pengundi mahu melihat kesannya terhadap kehidupan mereka seperti Kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendapatan, perumahan dan mutu perkhidmatan awam merupakan persoalan yang lebih dekat dengan kehidupan seharian.

Kajian Lee Hwok-Aun dari ISEAS-Yusof Ishak Institute pada Ogos 2026 turut mengingatkan bahawa kerjasama Melayu BN-PN sedang membentuk formula pilihan raya yang mencabar PH, sementara kekecewaan terhadap kelambatan reformasi dan prestasi kerajaan semakin menghakis sebahagian sokongan tradisionalnya.

PRU-16 bukan ruang untuk mengulangi kesilapan

PH perlu berhenti melihat kekalahan di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka sebagai episod berasingan. Ketiga-tiganya memperlihatkan pola yang wajar diberikan perhatian serius pengukuhan kerjasama BN-PN, perubahan sentimen pengundi Melayu, ketidakseimbangan kekuatan parti komponen dan semakin kaburnya identiti politik PH.

Justeru, PH perlu melakukan penilaian semula secara menyeluruh. Memperbaharui jenama politik, mempercepat reformasi yang boleh dirasai rakyat, memperkukuh jentera akar umbi dan membina naratif yang mampu bersaing dengan kebangkitan politik kanan.

Akhirnya, PH perlu menerima satu hakikat bahawa rakyat sudah membuat pilihan dan memberikan isyarat melalui peti undi. Pengundi tidak mempunyai kewajipan untuk terus memberikan sokongan hanya kerana mereka pernah menjadi sebahagian daripada gelombang perubahan pada PRU14 yang lalu.

PRU-16 semakin menghampiri. DAP tidak boleh selama-lamanya menjadi penyelamat kerusi PH, sementara PKR dan Amanah gagal menyelesaikan masalah daya tarikan politik mereka sendiri. Sentimen yang dirasai oleh pengundi Melayu terhadap DAP, masih ada. PH perlukan formula baharu.

Pegawai Penyelidik Nusantara Academy for Strategic Research (NASR)


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form