Oleh Sadiq Asyraf
Tidak sampai sehari selepas Pakatan Harapan (PH) kalah dalam PRN Melaka, pemimpinnya tampil menjelaskan puncanya. Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyentuh persediaan calon, pola pengundian anak muda, peratusan keluar mengundi dan jentera luar bandar yang lemah. Naib Presiden Amanah Dzulkefly Ahmad melihat politik permusuhan dan kebencian yang dibawa Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebagai antara faktor utama.
Pengerusi DAP Melaka Khoo Poay Tiong pula membangkitkan politik identiti sebagai antara faktor kekalahan manakala Pengarah Pilihan Raya PH Amirudin Shari melihat peningkatan undi Melayu sebagai petanda positif dan menggesa penjajaran politik baharu.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sekadar mengucapkan tahniah kepada BN di media sosial dan menyeru semua pihak mengutamakan kepentingan rakyat, tanpa menjelaskan kekalahan PH. Sekalipun ada yang mengakui kelemahan sendiri, pengakuan itu masih terbatas kepada soal calon dan jentera. Namun, persoalan yang masih belum dijawab dengan tuntas ialah PKR, parti pimpinan Perdana Menteri sendiri, yang gagal memenangi satu pun daripada 10 kerusi ditandinginya.
Apabila alasan mendahului muhasabah
Teori pembingkaian (framing theory) menjelaskan bahawa cara sesuatu peristiwa ditafsirkan mempengaruhi cara masyarakat memahami punca dan penyelesaiannya. Jika kekalahan berpunca daripada calon yang kurang bersedia, jentera lemah atau serangan lawan, ubatnya mudah dicari: perkemas jentera, perbaiki kempen dan cari sekutu baharu. Jika penyakitnya pada parti itu sendiri, ubatnya jauh lebih pahit. Setakat ini, PH memilih ubat yang mudah. Inilah bedah siasat yang cetek (shallow postmortem).
Sepanjang kempen, PH melabel lawannya ‘sakau’. Dakwaan ‘mafia korporat’ yang mula dilaporkan Bloomberg pada Feb masih membayangi kerajaan sendiri. Laporan itu mendakwa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpakat dengan ahli perniagaan untuk mengatur pengambilalihan syarikat. SPRM menafikannya, dan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang dituntut DAP belum ditubuhkan. Dakwaan itu belum membuktikan salah laku, tetapi seruan menentang penyelewengan kehilangan daya apabila pihak yang melaungkannya turut berdepan persoalan yang hampir serupa.
Bagi penyokong PKR, Parti Bersama Malaysia (Bersama) muncul menjadi kambing hitam yang mudah. Parti pimpinan bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli itu dituduh memecahkan undi, tuduhan yang turut disuarakan Tony Pua daripada DAP selepas PRN Johor.
Tuduhan politik harus diuji dengan angka. Sekalipun setiap undi Bersama dicampurkan dengan undi PH, satu andaian yang terlalu mudah, PH tetap kalah di semua 10 kerusi ditandingi kedua-duanya dan dimenangi BN atau PN. Di Machap Jaya, kerusi dengan jurang paling hampir, BN memperoleh 6,686 undi berbanding 4,731 undi gabungan PH dan Bersama. Bersama mungkin bersaing untuk sebahagian undi bandar, tetapi berdasarkan keputusan tersebut, kehadirannya tidak mengubah pemenang di 10 kerusi berkenaan.
Hujah Amirudin bahawa sokongan bertahan juga goyah. Beliau merujuk Bukit Katil, apabila undi Adly Zahari meningkat daripada 6,805 pada 2021 kepada 8,698 kali ini.
PRN Melaka 2021 berlangsung sebelum pendaftaran automatik pengundi dan penurunan umur mengundi kepada 18 tahun. Di Bukit Katil, jumlah pengundi berdaftar meningkat kira-kira 39%, daripada 25,410 kepada 35,359, manakala bahagian undi sah yang diperoleh Adly merosot daripada 41.6 kepada 34.5%. Menjadikan pertambahan undi sebagai bukti kekuatan, tanpa mengambil kira pertambahan pengundi, bukanlah penilaian yang menyeluruh.
Kuasa di puncak, lemah di akar
Daripada 10 kerusi ditandinginya, PKR meraih 24.3% undi, paling rendah antara tiga komponen PH. Amanah memperoleh 26.3% di tujuh kerusi, dan DAP 50.4% di tujuh kerusi.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin, memperoleh 37.4% undi di Paya Rumput. Farzana Hayani Nasir, pegawai di Pejabat Perdana Menteri, mendapat 27.9% di Kelebang. Ketika berkempen, Anwar menggesa pengundi memilih wakil rakyat yang mempunyai talian terus ke pejabatnya, namun hubungan tersebut ternyata tidak cukup untuk membawa kemenangan di kedua-dua kawasan.
Dalam BN di Melaka, parti terasnya turut menjadi penyumbang utama undi. Dalam PH, keadaannya terbalik. PKR menerajui kerajaan persekutuan, tetapi DAP memenangi semua empat kerusi PH dan menyumbang lebih separuh jumlah undi gabungan itu.
Selama ini, PKR dilihat sebagai jambatan politik ke kawasan Melayu dan campuran yang sukar ditembusi DAP. PRN tidak boleh disamakan dengan PRU, dan PKR masih berpeluang mempertahankan kerusi bandar yang dimenanginya pada 2022. Namun di Melaka, jambatan yang selama ini diharapkan menghubungkan dua tebing itu ternyata semakin rapuh.
Penjajaran baharu, masalah lama
Cadangan Amirudin untuk penjajaran politik baharu sekali lagi memperlihatkan kecenderungan mencari kekuatan di luar, sebelum kelemahan di dalam diselesaikan. Penjajaran boleh mengurangkan pertembungan sesama sendiri, tetapi untuk memenangi kerusi, rakan yang dibawa masuk perlu membawa undi.
Bersatu, parti yang lama dikecam penyokong PH kerana Langkah Sheraton, tidak berdepan calon PH di Lendu, Sungai Udang, Pantai Kundor dan Bemban. Amirudin meminta ahli PH menghormati keputusan memberi laluan kepada Bersatu di Bemban. Namun, kedua-dua pihak masih bertembung di Kelebang, Pengkalan Batu dan Ayer Keroh.
Apa pun persefahaman itu, hasilnya tidak meyakinkan. Bersatu tidak menang satu pun daripada tujuh kerusinya, lima calonnya hilang deposit dan undinya di seluruh Melaka hanya 3.2%, lebih rendah daripada Bersama. Di Bemban, Bersatu menduduki tempat ketiga dengan 11.5%, di belakang calon Bersama dengan 22.5%.
Melaka juga bukan kejadian terpencil. Dalam empat PRN sejak Sabah pada November tahun lalu, PKR memenangi empat daripada 58 kerusi ditandinginya: satu di Sabah, satu di Johor, dua di Negeri Sembilan dan tiada di Melaka. Parti yang menang kurang daripada tujuh peratus kerusi yang ditandingi sukar meyakinkan rakan gabungan, apatah lagi menggerunkan lawan.
Jika penilaian Majlis Presiden PH akhirnya berkisar tentang politik identiti, serangan lawan dan parti Bersama, mungkin sebahagian hujahnya benar, tetapi kesimpulannya tersasar. PKR bergelut untuk memenangi kawasan Melayu dan campuran yang menjadi asas peranan politiknya, sedangkan pemimpinnya lebih tertumpu kepada apa yang dilakukan pihak lain.
Lautan tidak pernah menjanjikan ketenangan kepada kapal yang belayar. Namun, kapal yang karam bukan semestinya kerana gelora, tetapi kerana keengganan nakhodanya menampal kebocoran.
Penulis ialah p
______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
