Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memfailkan dua saman terhadap Google LLC dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan RM600 juta berhubung dakwaan kegagalan syarikat itu menangani kandungan dalam talian yang memudaratkan di platform YouTube.
Dalam kenyataan, MCMC kedua-dua saman itu melibatkan dakwaan berbeza berkaitan kegagalan Google mematuhi kewajipan di bawah undang-undang serta syarat lesen yang ditetapkan.
Bagi setiap saman, MCMC menuntut ganti rugi RM300 juta merangkumi RM100 juta ganti rugi am, RM100 juta ganti rugi teruk dan RM100 juta ganti rugi teladan.
“Tuntutan ganti rugi ini bertujuan mendapatkan pampasan atas penggunaan sumber dan tenaga kerja yang besar dalam menangani lebih daripada 50,000 kandungan dalam talian yang memudaratkan susulan kegagalan sistemik Google, di samping menyokong usaha mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat.
“Tuntutan ini turut mengambil kira sifat dan kesan pelanggaran yang didakwa, serta keperluan untuk memastikan Google dipertanggungjawabkan atas ketidakpatuhan yang sama daripada berulang,” katanya.
Saman pertama berkaitan dakwaan kegagalan Google mengambil tindakan sewajarnya terhadap ribuan kandungan memudaratkan, termasuk perjudian dalam talian, penipuan dan scam.
MCMC berkata, antara 1 Jan hingga 28 Okt lalu pihaknya mengemukakan 74,703 laporan kepada YouTube, dengan 74,569 daripadanya atau 99.8% berkaitan perjudian dalam talian.
Daripada jumlah itu, 32,781 laporan menerima maklum balas atau tindakan penurunan kandungan dalam tempoh sehari, manakala 4,950 laporan tidak menerima sebarang maklum balas.
Sebanyak 35 laporan pula mengambil masa lebih 90 hari untuk menerima maklum balas atau tindakan penurunan kandungan, manakala 1,468 laporan mengambil masa lebih 30 hari.
“Angka-angka ini menunjukkan skala penyebaran kandungan yang memudaratkan di platform tersebut serta kelewatan dalam menangani kandungan berkenaan,” katanya.
Saman kedua pula membabitkan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah statutori dan proaktif sewajarnya berhubung penerbitan semula kandungan yang melanggar undang-undang di YouTube oleh Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo.
MCMC berkata, kandungan berkenaan kini tertakluk kepada injunksi interim yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Jun lalu.
Suruhanjaya itu menegaskan, semua penyedia platform media sosial yang tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 perlu mematuhi kewajipan undang-undang dan syarat lesen masing-masing.
“Memandangkan ini bukan kes sivil pertama yang dibawa oleh MCMC terhadap syarikat media sosial utama berhubung pelanggaran seumpamanya.
“MCMC menggesa semua penyedia platform supaya mengambil langkah yang sewajarnya untuk menangani kandungan yang melanggar undang-undang dan memudaratkan di platform masing-masing,” katanya. - FMT
______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
