LONDON: Penyerang Liverpool, Mohamed Salah dinobatkan sebagai pemain bola sepak lelaki terbaik tahun ini menerusi undian tahunan Persatuan Penulis Bola Sepak (FWA), dengan pemain antarabangsa Mesir itu merangkul anugerah berkenaan buat kali kedua.
Salah yang turut memenangi anugerah itu pada 2018, mendapat 48 peratus undi, mengatasi bintang Manchester City, Kevin de Bruyne dan pemain West Ham United, Declan Rice yang masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Pemain berusia 29 tahun itu merekodkan 30 gol dan 14 bantuan jaringan dalam 44 perlawanan untuk Liverpool musim ini dan kekal sebagai tonggak penting skuad Juergen Klopp, yang hanya satu mata di belakang pendahulu, Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) yang masih berbaki lima perlawanan.
Penyerang Chelsea, Sam Kerr pula membawa pulang anugerah pemain bola sepak wanita terbaik dengan memperoleh 40 peratus undi, mengetepikan penyerang Arsenal, Vivianne Miedema dan pemain City, Lauren Hemp.
Kerr yang juga pemain antarabangsa Australia, adalah penjaring terbanyak dalam Liga Super Wanita musim ini dengan 18 gol.
Salah dan Kerr akan menerima anugerah mereka pada 5 Mei, kata kenyataan FWA.
- REUTERS
______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily