Berita Terkini

Majlis Presiden PN puas hati penjelasan Ordinan Darurat


PUTRAJAYA –
Kesemua 12 presiden parti Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berpuas hati dengan penjelasan berhubung pelaksanaan Ordinan Darurat, pengurusan darurat dan pengurusan pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Presiden Kerajaan PN yang berlangsung petang tadi secara dalam talian.

Beliau berkata, ahli-ahli mesyuarat berkenaan turut menerima penjelasan dan perbincangan panjang lebar berhubung pelan imunisasi vaksin yang bermula bulan depan.

“Mesyuarat yang saya pengerusikan dihadiri oleh 12 Presiden parti daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO, Pas, PBB, MCA, MIC, PRS, SUPP, PDP, PBS, STAR dan SAPP manakala PBRS diwakili Timbalan Presiden.

“Saya bersyukur bahawa mesyuarat yang berlangsung selama lebih kurang dua jam dalam suasana akrab dan muhibah telah menyambut baik taklimat mengenai Proklamasi Darurat daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Norhizan Ismail,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini.

Muhyiddin berkata, Majlis Presiden terus menjadi platform perbincangan tertinggi bagi kesemua parti politik dalam kerajaan PN demi memastikan kestabilan politik dan kelancaran pentadbiran kerajaan serta menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan negara. –K! ONLINE


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form