Berita Terkini

Lepas pendaftaran ditolak, Muda heret ROS ke mahkamah


Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memilih jalan mahkamah untuk berdaftar sebagai parti politik secara rasmi.

Ia susulan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menolak permohonan pendaftaran Muda menerusi emel pada 6 Jan lalu.

ROS, dalam emel berasingan, turut menolak permohonan pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Muda menerusi firma Tetuan Sreenevasan memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Jan lalu.

Antara 13 pemohon semakan kehakiman itu adalah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bekas Menteri Belia dan Sukan dan juga pengasas Muda.

Menurut salinan kertas kausa yang dilihat Malaysiakini, semakan itu menamakan ROS dan Menteri Dalam Negeri sebagai responden.

Mereka memohon arahan mahkamah untuk membatalkan keputusan ROS yang menolak pendaftaran Muda sebagai pertubuhan di bawah kategori parti politik menurut Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966.

Mereka juga antara lain memohon ganti rugi termasuk ganti rugi teruk, kos, dan ganti rugi lain yang dirasakan wajar oleh mahkamah.

Salinan afidavit Syed Saddiq bagi menyokong permohonan itu mendakwa keputusan untuk menolak permohonan adalah tidak berperlembagaan kerana ia mencabul hak kebebasan bersuara dan berpersatuan mereka.

Dia mendakwa keputusan itu tidak sah kerana dibuat melangkaui kuasa responden berdasarkan Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966.

Dia turut mendakwa sebab sebenar permohonan Muda ditolak adalah berkaitan dengan keengganannya mematuhi permintaan seorang menteri agar dia menyokong perdana menteri.


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form