Berita Terkini

Belajar dalam talian: Radzi dengarlah rungutan pelajar, ibu bapa, guru, kata Syed Saddiq


PETALING JAYA:
Bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa Kementerian Pendidikan menggunakan dananya bawah belanjawan tahunan untuk memudahkan pembelajaran dalam talian, ketika sesi akademik baharu bermula hari ini.

Dalam hantaran di Facebook, Syed Saddiq berkata beliau melihat ramai ibu bapa berkongsi gambar di media sosial menunjukkan anak mereka menyertai kelas dalam talian menggunakan telefon pintar, bukannya komputer riba.

“Ini yang berlaku bila menteri pendidikan (Radzi Jidin) tidak merancang dengan betul dan awal.

“Tidak ada rancangan untuk bantu anak-anak belajar dari rumah,” katanya sambil menambah televisyen pendidikan tidak membantu memudahkan proses pembelajaran dan pengajaran.

Syed Saddiq turut mempertikaikan kelewatan mengagihkan komputer riba kepada 150,000 pelajar di 500 sekolah, seperti diumumkan dalam belanjawan.

“Sampai bila nak tunggu?” soalnya.

Beliau menggesa Radzi mendengar rungutan pelajar, ibu bapa dan guru yang masih menghadapi kesukaran dengan pembelajaran di rumah walaupun selepas setahun dalam pandemik.

“Menteri pendidikan kena bantulah. Rancanglah. Anda ada peruntukan di bawah Kementerian Pendidikan. Gunalah,” katanya.

Pelajar yang menduduki peperiksaan awam sudah memulakan kelas secara bersemuka hari ini, manakala pelajar lain mesti menghadiri pembelajaran menerusi platform pembelajaran dalam talian disebabkan lonjakan kes Covid-19.


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form