Berita Terkini

Maka terselamatlah Muhyiddin Yassin


Setelah Belanjawan 2021 diluluskan Dewan Rakyat pada petang Selasa 15 Dis, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin membuat catatan di Facebook. Begini bunyinya:

“Alhamdulillah saya sekali lagi melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah apabila Rang Undang-undang Perbekalan 2021 diluluskan oleh Dewan Rakyat.”

RUU Perbekalan 2021 ialah nama “rasmi” Belanjawan 2021.

Memang tepat kesyukuran diluahkan beliau. Pada hemat saya, rasa kesyukuran Muhyiddin bukan saja kerana lulusnya belanjawan yang kata beliau “sangat penting kepada kerajaan bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan demi kesejahteraan rakyat”.

Bagi saya kesyukuran Muhyiddin juga kerana beliau kekal sebagai perdana menteri dan kerajaan Perikatan Nasional pimpinannya tidak jatuh. Seperti kita tahu, kegagalan Belanjawan 2021 melepasi rintangan di Dewan Rakyat, perdana menteri dan pentadbirannya tumbang.

Pembangkang tentunya kecewa. Hasrat menggulingkan Muhyiddin tidak tercapai. Kita tahu mereka berpecah, khususnya mengenai isu calon perdana menteri, jika mereka berjaya memerintah semula.

Namun, kali ini mereka mengetepikan perbezaan pendapat – lalu bersatu hati dan bersepakat menolak Belanjawan 2021 yang menurut mereka “tidak menepati objektif dan matlamat memerangi Covid-19, membantu rakyat dan menghidupkan semula ekonomi”.

Jujur saya katakan, usaha pembangkang menewaskan Belanjawan 2021 sememangnya sukar sejak awal lagi, berdasarkan jumlah atau angka yang mereka ada.

Walaupun bersatu hati, angka dalam tangan tidak mencukupi. Lantas pembangkang perlu sokongan ahli Dewan Rakyat daripada pihak lawan, terutamanya UMNO, untuk menggagalkan kelulusan Belanjawan 2021.

Belanjawan 2021 diluluskan melalui undi belah bahagi, selepas bacaan kali ketiga oleh menteri kewangan yang menyaksikan 111 Ahli Parlimen menyokong dan 108 menentang, manakala seorang tidak hadir.

Dewan Rakyat mempunyai 222 kerusi. Dua ahli Dewan meninggal dunia tahun ini. Bermakna kali ini 220 Ahli Parlimen sepatutnya mengundi. Tetapi seperti disebut tadi, seorang tidak hadir, maka yang mengundi 219.

Jelas ahli Dewan Rakyat daripada UMNO yang dikatakan akan menyokong usaha pembangkang tidak menjadi kenyataan. Maksudnya, jika mereka berjanji, mereka tidak menepati janji.

Malah, ahli Dewan Rakyat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah tidak hadir. Kita tahu Razaleigh berulang kali menuduh kerajaan Muhyiddin tidak sah atau tidak ada “legitimacy”.

Kerap sebelum ini beliau menasihati semua ahli Dewan Rakyat mengundi mengikut naluri demi rakyat dan jangan terikat dengan arahan parti. Tetapi, beliau sendiri tidak hadir di Parlimen.

Lantas, pembangkang tidak mempunyai cukup “numbers”. Jumlah 108 adalah maksimum yang boleh mereka perolehi. Walaupun jika Razaleigh hadir dan mengundi menyokong mereka, pembangkang hanya akan ada 109 undi, masih tidak mencukupi. Sekadar merapatkan jurang, iaitu daripada ketinggalan tiga undi kepada dua.

Oleh itu, bukan sesuatu yang janggal untuk Muhyiddin selain menyuarakan kesyukuran, turut merakam terima kasih kepada “semua Ahli Parlimen PN, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan Parti Bersatu Sabah yang telah menyokong Belanjawan 2021”.

Tidak dinafikan Muhyiddin terhutang budi kepada semua pihak yang beliau sebutkan itu. Bagaimanapun, paling utama beliau terhutang budi kepada BN, khususnya UMNO.

Ini kerana, UMNO beberapa kali menggambarkan ahli Dewan Rakyat mereka akan, seperti dikatakan tadi, bersama pembangkang menolak Belanjawan 2021, sekaligus menumbangkan Muhyiddin.

Saya melihat sokongan UMNO ke atas Belanjawan 2021 sebagai “bukti” imej “gah” yang mereka paparkan sambil mengugut Muhyiddin akan menarik balik sokongan ialah “acah-acah” dan tindakan “berani berani takut”.

Di sebalik paparan gagah, UMNO juga tidak yakin untuk benar-benar memutuskan hubungan dengan Perikatan Nasional dan bergerak bersendirian.

Apatah lagi PAS, rakan mereka dalam Muafakat Nasional begitu mesra dan akrab dengan PN.

Akan tetapi, selain itu, UMNO juga dalam keadaan selesa. Maksudnya, orang UMNO yang dalam kerajaan Muhyiddin sebagai menteri dan sebagainya, cukup senang hati dengan apa yang mereka diperolehi. Mereka tidak bercadang melepaskan kenikmatan itu.

Manakala orang UMNO di luar kerajaan juga selesa memainkan peranan sebagai pendesak, atau dalam bahasa kasar, bertindak “membuli” dan “mendera” sambil mendakwa mereka yang “didera” PPBM, parti Muhyiddin.

Hayati catatan terbaru Facebook bekas presiden UMNO, Najib Razak. Kata Najib, beliau dan BN (sila baca UMNO) akan terus menuntut kerajaan PN untuk tepati janji mereka membaiki Belanjawan 2021.

“Jika hasrat kami masih tidak tercapai dan kami rasa tertipu selepas satu tempoh yang munasabah, maka BN (sekali lagi sila baca UMNO) masih berpeluang untuk membuat sesuatu.”

“Sesuatu” yang boleh BN (baca UMNO) lakukan tidak dijelaskan Najib. Namun, bagi saya, “amaran” itu boleh merangkumi pelbagai aspek, bukan sekadar dilihat daripada sudut Belanjawan 2021.

Dalam erti kata lain, bak kata kolumnis FMT, A Kathirasen, “Muhyiddin safe for now but keris remains drawn” atau Muhiyuddin selamat buat masa ini, tetapi keris masih di luar sarung. Kesimpulan jelas yang tidak perlu dihuraikan.

Pun begitu, ketika Muhyiddin terselamat, timbul pula persoalan sama ada ketua pembangkang, Anwar Ibrahim akan berdepan ujian keyakinan dalam kalangan pembangkang akibat kegagalan mereka menghalang kelulusan Belanjawan 2021. Persoalan yang belum ada jawapan ketika artikel ini ditulis.

Dalam pada itu, aktivis media veteran, Ahmad Lutfi Othman, yang mengaku pro pembangkang, khususnya Amanah menasihati pembangkang “melupakan” apa-apa rancangan untuk mendapat sokongan UMNO dalam usaha mendapatkan semula kuasa.

Kata Lutfi: “Tutup buku ajalah dengan UMNO ni, ‘prepare’ untuk PRU15! Depa (UMNO) lebih selesa dengan Muhyiddin, walaupun mengaku dibuli PPBM”.

Itu nasihat ikhlas menurut saya. Terpulanglah kepada pembangkang mahu atau tidak menerimanya.

 MOHSIN ABDULLAH


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form