Berita Terkini

Gabungan pembangkang Sarawak tak mungkin tumbangkan GPS, kata penganalisis


PETALING JAYA:
Pakatan antara Pakatan Harapan Sarawak dan Parti Sarawak Bersatu mungkin boleh menang lebih banyak kerusi pada pilihan raya negeri akan datang, tapi tidak cukup untuk menumbangkang Gabungan Parti Sarawak, kata penganalisis politik.

Bekas pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan, dan Oh Ei Sun, felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata pakatan pilihan raya antara pembangkang tidak memadai untuk merampas kuasa di negeri.

Azmi berkata GPS masih kuat di banyak kawasan di Sarawak dan satu-satunya cara PH dan PSB untuk menang adalah sekiranya GPS menghadapi masalah dalaman.

PSB, sebelum ini Parti Rakyat Bersatu, diketuai Wong Soon Koh, dan sekutu GPS sehinggalah Julai tahun lepas apabila Wong berundur dari Jemaah Menteri Sarawak. Bekas pemimpin PKR, Baru Bian, menyertai parti itu pada Mei tahun ini, dua bulan selepas keluar parti selepas pentadbiran Pakatan Harapan tumbang di peringkat persekutuan.

Parti itu mempunyai dua Ahli Parlimen dan enam ADUN.

Ketua PH Sarawak, Chong Chieng Jen, berkata rundingan kerusi diadakan dengan PSB bagi membentuk barisan pembangkang yang kuat pada PRN yang mesti diadakan sebelum Ogos.

Chong, yang juga pemimpin DAP Sarawak, berkata partinya tidak akan bertanding melawan sekutunya, PKR, dan merancang untuk tidak bertanding beberapa kerusi, terutama di kawasan luar bandar.

Pada pilihan raya negeri 2016, calon PKR dan DAP bertembung di Batu Kitang, Ngemah, Mulu, Murum, Mambong, dan Simanggang. Kedua-dua parti tewas di enam kerusi itu.

Oh berkata DAP tidak popular di kawasan luar bandar dan keputusan untuk tidak bertanding di situ tidak akan beri impak pada nasibnya.

“Lagipun DAP tidak dijangka akan menang di kerusi-kerusi luar bandar ini, jadi tak rugi kalau biar PSB atau PKR bertanding di situ, atau mungkin bertanding lebih banyak kerusi bandar di mana peluang DAP untuk menang lebih baik,” katanya.

Beliau menambah PH dan PSB dijangka boleh saling melengkapi, dari segi mengumpul sokongan daripada pelbagai komuniti dan wilayah di Sarawak.

Oh juga percaya koordinasi kerusi antara DAP dan PKR akan lebih baik, selepas pemergian beberapa pemimpin yang memberi kesan pada kekuatan mereka.

Azmi berkata kedua-dua parti itu tiada pilihan kecuali bersepakat dalam hal kerusi sekiranya mahu menawan kerajaan negeri.


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form