Berita Terkini

Bekas bos SPR dilantik pengerusi MAIS baru



Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang baharu berkuat kuasa Jumaat ini (1 Jan).

Pelantikan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu adalah bagi menggantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi, yang akan tamat tempoh perkhidmatan esok, selepas mempengerusikan MAIS sejak 2018.

Pelantikan itu disempurnakan dalam satu istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Anggota MAIS bagi sesi 2021-2023 dan Ahli Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor (LZS) serta Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, di Istana Bukit Kayangan di sini.

Pada istiadat sama, baginda turut berkenan menyampaikan watikah pelantikan lima anggota MAIS yang baharu bagi sesi 2021-2023 iaitu Timbalan Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir; bekas timbalan ketua Polis Negara Tan Sri Mazlan Mansor; Pengerusi Lembaga Permodalan Wakaf Nasional Berhad Tan Sri Hashim Meon dan dua kerabat Diraja Selangor iaitu Tengku Seri Paduka Shah Bandar Tengku Datuk Ardy Esfandiari Tengku Abdul Hamid Shah, serta Datuk Kurnia Bakti Diraja Datuk Mohd Effendi Abdullah, yang juga Bendahari Kehormat Pertubuhan Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah (RACTAR).

Pelantikan baharu yang diketuai Abdul Aziz itu, menjadikan jumlah keseluruhan anggota MAIS bagi sesi 2021-2023 adalah 21 orang.

Sultan Sharafuddin juga berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada 11 Ahli Pemegang Amanah LZS sesi 2021-2023, didahului Pengerusi Pemegang Amanah LZS Tan Sri Syed Anwar Syed Jamalullail, Timbalan Pengerusi Pemegang Amanah LZS Tan Sri Ambrin Buang dan Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid, selaku Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS.

Kesemua pelantikan tersebut berkuat kuasa Jumaat ini hingga 31 Dis 2023.

Sultan Sharafuddin turut menyampaikan watikah pelantikan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor baharu, Mohamad Khalid Share @ Shaii, yang berkuat kuasa 16 Dis lalu.

Turut berangkat ke istiadat berkenaan adalah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

- Bernama
______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form