PETALING JAYA: Kenyataan bekas naib presiden Amanah Husam Musa yang mendakwa Dr Mahathir Mohamad mahu menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) sejak hari pertama menjadi kerajaan termasuk menuduh bekas perdana menteri itu sengaja melengah-lengahkan pelantikan senator dalam kalangan ahli gabungan berkenaan hanya pandangan peribadi.
Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar berkata, kenyataan Husam yang menyerang Mahathir juga tiada kaitan dengan parti itu.
“Itu pandangan peribadi dia (Husam) tidak ada kena mengena dengan Amanah,” katanya kepada FMT.
Mahfuz berkata, jika Mahathir sengaja melengahkan pelantikan wakil
senator daripada PH selepas menguasai Putrajaya pada Mei 2018 seperti
didakwa, sudah pasti Husam sendiri tidak akan dipilih.
Beliau turut mendedahkan, Mahathir sendiri ketika menjadi perdana
menteri PH mencadangkan nama Husam dilantik sebagai timbalan menteri
perumahan dan kerajaan tempatan tetapi ditolak.
“Kalau (Mahathir) lengahkan pelantikan senator (PH) tentu Husam pun tidak dilantik sebagai senator, malah Husam dicadangkan Tun untuk jawatan timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan, tapi dia tolak jawatan timbalan menteri,” katanya memaklumkan isu dibangkitkan itu tidak pernah dibawa Husam dalam mesyuarat Amanah.
Mahfuz berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah portal yang memetik kenyataan Husam mendakwa kejatuhan PH dirancang sejak hari pertama menjadi kerajaan.
Kata Husam, salah 1 sikap Mahathir ketika menjadi perdana menteri
ialah melengah-lengahkan pelantikan senator dalam kalangan ahli parti
PH.
“Saya masuk (jadi senator) selepas PH jatuh tapi ada 16 kekosongan
senator pada zaman PH. Tun (Mahathir) macam sudah simpan orang untuk
dilantik kemudian di Dewan Negara macam Zahid Mat Arip dan Tengku (Datuk
Seri) Zafrul (Tengku Abdul Aziz) dan lain-lain,” katanya dalam sembang
santai politik: kejatuhan PH adalah 1 rancangan di DHM Channel pada
Ahad.
Katanya, jika pembangkang sekarang mahu menggunakan jurutera yang sama (Mahathir) bagi merampas kerajaan, ia hanya membuang masa termasuk dakwaan pembentukan kerajaan perpaduan.
Husam berkata, pendedahan beliau membabitkan Mahathir juga susah banyak kali dimaklumkan kepada pucuk pimpinan partinya termasuk Timbalan Presiden Amanah Salahudin Ayub.
September lalu, Husam mengumumkan peletakan jawatan sebagai naib presiden Amanah dan beliau juga dilantik sebagai senator ketika Mahathir menjadi perdana menteri.
______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily