Berita Terkini

PPBM setuju sebulat suara mansuh jawatan pengerusi parti


PETALING JAYA:
Jawatan pengerusi PPBM dimansuhkan selepas usul pindaan itu diterima sebulat suara oleh perwakilan dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) ke-3 parti itu hari ini.

Ketua Penerangan PPBM, Wan Saiful Wan Jan berkata, pindaan lain yang turut dipersetujui adalah memansuhkan Majlis Presiden yang sebelum ini dianggotai oleh pemimpin atasan parti.

“Sebenarnya sebelum PAT, Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan telah adakan sesi libat urus dan taklimat di seluruh negara dengan pemimpin negeri dan bahagian. Semua pandangan kita ambil untuk perbaiki cadangan asal.

“Alhamdulillah ini semua menghasilkan keputusan menerima sebulat suara semua pindaan yang dicadangkan, termasuklah untuk memansuhkan jawatan pengerusi,” katanya.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad merupakan pengerusi PPBM sebelum ini. Beliau meletak jawatan Mac lepas.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan penubuhan sayap bersekutu bagi membolehkan penstrukturan ahli bersekutu parti.

“Benar bahawa sejak awal penubuhan lagi kita ada keahlian bersekutu. Sekarang kita rasakan sudah sampai masa untuk diwujudkan struktur rasmi bagi mempermudahkan kerja. Ahli bersekutu adalah mereka yang bukan pribumi.”

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, melihat kepada permintaan tinggi untuk menjadi ahli parti, maka Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan juga bersetuju untuk memansuhkan yuran keahlian tahunan.

“Sekarang semuanya menjadi ahli seumur hidup dengan membayar satu yuran sekali gus sahaja,” katanya.


______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form