Berita Terkini

Pemuda Perikatan Nasional menyambut baik Belanjawan 2021



Pemuda Perikatan Nasional menyambut baik Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Zafrul semalam. Secara umumnya, ini adalah sebuah kerangka polisi yang inklusif dan secara jelas meletakkan rakyat sebagai tunjang utama agenda negara.

Pelbagai insentif yang diumumkan menyediakan peluang untuk menyokong rakyat yang terkesan akibat pandemik yang berterusan termasuklah pekerja sektor perkhidmatan seperti industri penerbangan dan hospitaliti. Program seperti latihan dan penempatan semula, pemerkasaan program-program TVET dan bantuan yang diteruskan di bawah PENJANA membuktikan iltizam dan keprihatinan kerajaan untuk terus menyokong orang ramai khususnya anak muda.

Dalam usaha untuk memacu kembali ekonomi negara, kerajaan turut mengumumkan pelbagai geran dan pelaburan besar-besaran dalam sektor-sektor yang dikenalpasti sebagai tunjang pertumbuhan ekonomi baharu di masa hadapan. Program untuk memajukan pertanian dan komoditi, meluaskan capaian internet termasuk di luar bandar, dan merancakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) akan dapat meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global, menjana banyak peluang pekerjaan baharu dan memulihkan ekonomi rakyat adalah amat dialu-alukan.

Secara keseluruhan, kami percaya belanjawan Kerajaan Perikatan Nasional di bawah kepimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin ini dalam jangka panjang akan memandu Malaysia melalui fasa transisi ke arah menjadi sebuah ekonomi yang lebih mapan, efisien, kompetitif dan mampu menawarkan kemakmuran yang dapat dikecapi bersama oleh seluruh rakyat. Pemuda Perikatan Nasional menggesa seluruh ahli Parlimen agar memberikan sepenuh sokongan untuk meluluskan belanjawan ini.

Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin
Ketua Pemuda, Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
Ketua ARMADA Nasional, Parti Pribumi Bersatu Malaysia

Rizal Johari
Ketua Pemuda, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR)
Ketua Pemuda, Parti Progresif Sabah (SAPP)
7 November 2020

______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form