KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia mengadakan perbincangan dengan pengurusan Malindo Air hari ini bagi membincangkan isu pembuangan pekerja syarikat itu.
Menteri, Datuk Seri M Saravanan, berkata perbincangan itu diadakan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bersama Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) dan PERKESO dengan pengurusan Malindo Air.
Mesyuarat itu juga membincangkan isu berkaitan pematuhan perundangan perburuhan serta langkah menjaga kebajikan pekerja yang terbabit.
"Kepada pekerja Malindo Air yang diberhentikan kerja serta-merta, mereka boleh mendapatkan bantuan Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) , sehingga enam bulan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).
"Bayaran elaun akan dibuat antara 80 peratus hingga 30 peratus daripada gaji akhir, di bawah had gaji RM4,000," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) DI Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan P Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) yang ingin mengetahui bantuan kementerian itu kepada pekerja Malindo air yang diberhentikan kerja serta-merta.
Pada 19 Oktober lalu, Malindo Air dilapor akan beroperasi pada skala yang lebih kecil dan terpaksa mengurangkan hingga 2,200 pekerjanya.
Saravanan menjelaskan bekas pekerja Malindo Air juga boleh mendapatkan bantuan melalui Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB), Elaun Latihan, Fi Latihan dan Faedah bantuan pencarian pekerjaan.
Katanya, pada masa sama, pekerja Malindo Air yang telah diberhentikan kerja, mereka boleh mendaftar dengan Portal MYFutureJobs iaitu portal pekerjaan yang membantu mereka mendapatkan pekerjaan.
Selain itu, katanya kementerian melalui Perbadanan Sumber Manusia Berhad (PSMB) mempunyai pelbagai inisiatif dikendalikan di bawah program Penjana HRDF yang dapat membantu pekerja Malindo Air yang hilang pekerjaan atau yang mungkin akan kehilangan kerja.
"Antaranya inisiatif "Place and Train", yang mana pekerja Malindo Air boleh dilatih semula dan ditempatkan bagi mengisi kekosongan kerja yang ditawarkan dalam 'industry hospitality' yang berkaitan," katanya.
Sementara itu, menjawab soalan M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) mengenai bilangan pekerja yang telah dilatih dan mendapat penempatan pekerjaan, Saravanan berkata, setakat 16 Oktober lalu PSMB sudah meluluskan 35,938 pelatih bagi mengikuti skim-skim yang membabitkan penempatan pekerjaan dan pekerjaan kendiri.
Daripada jumlah ini, katanya, seramai 6,567 pelatih sudah menamatkan latihan dan seterusnya mendapat penempatan pekerjaan mahupun pekerjaan kendiri.
"Di bawah inisiatif ini, sebanyak 285 pusat latihan telah diluluskan bagi ketiga-tiga inisiatif ini. Daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan jumlah penyedia latihan tertinggi iaitu 41.1 peratus diikuti dengan Kuala Lumpur (31.6 peratus), Pulau Pinang (4.9 peratus) dan Sabah (4.9 peratus)," katanya.
Dari segi pecahan pusat latihan berdasarkan kelulusan skim pula, Skim Place & Train mencatatkan kelulusan tertinggi dengan 200 pusat latihan diluluskan, diikuti dengan skim GIG (58 pusat latihan) dan skim B40 Development (35 pusat latihan).
"Dari segi jumlah majikan pula, sebanyak 397 majikan telah diluluskan di bawah skim Place and Train. Daripada jumlah itu 97 peratus adalah dari sektor perkhidmatan dan tiga peratus adalah dari sektor pembuatan," katanya.
______
DETIKDAILY
http://detikdailyonline.blogspot.com
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily